Honor Perkenalkan MagicOS 10 – Antaramuka Lebih Pintar Dan Berhubung
Amy Maizuraa
Honor memperkenalkan antara muka terbaharu mereka MagicOS 10 yang dibina berasaskan Android 16. Ia hadir dengan pelbagai ciri pintar dan rekaan moden bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini.

Dengan tema transparent experience, smart life antaramuka MagicOS 10 diinspirasikan daripada konsep Liquid Glass seperti yang dilihat pada peranti iPhone. Rekaan ini turut diperlihatkan dalam ColorOS 16 dan OriginOS 6 yang juga menandakan kemunculan satu trend baharu dalam dunia Android.

Salah satu tumpuan utama MagicOS 10 ialah pembantu maya YOYO yang kini lebih pintar dan responsif. Dengan hanya satu sentuhan atau arahan suara, YOYO boleh mengenal pasti objek dalam paparan skrin secara masa nyata, menganalisis kandungan dan memberikan jawapan serta-merta.

Sebagai contoh, ketika membeli buah-buahan, YOYO boleh membantu memilih buah yang paling manis. Ia juga berfungsi sebagai ruangan maklumat peribadi, menyusun nota dan foto ke dalam konteks yang jelas dan mudah digunakan pada bila-bila masa.
Dari aspek keselamatan, MagicOS 10 hadir dengan kunci keselamatan bio-grade dan sistem penyulitan pintar yang melindungi privasi pengguna. YOYO juga mampu membantu dalam pelbagai tugasan harian seperti merancang perjalanan dari laluan hingga penginapan hanya dengan satu arahan suara.

Ciri sambungan rentas peranti (cross-brand) turut dipertingkatkan untuk pengalaman lebih menyeluruh. Kini, pengguna boleh memindahkan gambar, video, dokumen, jadual dan kenalan antara peranti Honor, iPhone dan Mac dengan hanya satu sentuhan.

Fungsi seperti pengisian automatik kod pengesahan, penyelarasan mesej serta sambungan ke Apple Watch turut mendorong kepada keselesaan penggunaan. Selain itu, sambungan ke TV turut dimudahkan dengan kandungan dapat dipaparkan serta-merta hanya melalui arahan suara.

MagicOS 10 juga mudah digunakan setiap hari dengan sokongan interaksi satu tangan dan perkhidmatan pintar yang bertindak secara automatik bila diperlukan. Ciri AI Screenshot bukan hanya menangkap skrin, malah boleh mencadangkan langkah seterusnya yang sesuai.

Selain itu, sistem AI Call Anti-Fraud boleh kenal pasti penipuan melalui suara termasuk penyamaran seperti panggilan palsu yang menjadikan penggunaan lebih selamat. Semua ini dilihat melengkapkan ciri pengecaman wajah yang sudah ada sejak MagicOS 9.0.
Honor merancang pelancaran berperingkat untuk telefon pintar, peranti boleh lipat dan tablet bermula Oktober 2025 hingga Q1 2026 bermula di China sebelum dilancarkan secara global.
Oktober 2025
- Magic V5, Magic6 Supreme Edition, Magic7 RSR | Porsche Design, Magic6 Pro, Magic7 Pro, Magic6, Magic7, 400 Pro, GT Pro, 400, Magic6 RSR | Porsche Design, MagicPad3
November 2025
- Magic V3, Magic5 Pro, Magic Vs3, Magic5, Magic5 Supreme Edition
Disember 2025
- Magic V2 RSR | Porsche Design, GT Pro tablet, Magic V2 Supreme Edition, GT tablet, Magic V2, V9 tablet, MagicPad2
Suku Pertama 2026
- Magic V Flip2, 100 Pro, Magic V Flip, 100, Magic Vs2, 90 GT, Magic Vs Supreme Edition, Power, Magic Vs, X70, 300 Ultra, X70i, 300 Pro, X60 GT, 300, Tablet 10, GT, X9 Pro tablet, 200 Pro, X9 tablet, 200.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






