Honor secara rasmi melancarkan Magic V5 untuk pasaran Malaysia. Peranti ini hadir dengan spesifikasi kelas mercu dengan fokus utama pada reka bentuk peranti lipat yang nipis dan ringan. Ia juga lebih nipis berbanding model sebelum iaitu Magic V3 bagi memberi pengalaman penggunaan yang lebih mudah.


Magic V5 hadir dengan ketebalan 8.8mm apabila dilipat dan 4.1mm apabila dibuka sepenuhnya. Ketebalan ini turut berbeza mengikut varian warna iaitu 8.8mm (dilipat) untuk Ivory White manakala Dawn Gold, Silk Brown dan Black masing-masing mempunyai ketebalan 4.2mm (dibuka) dan 9mm (dilipat). Berat peranti juga sedikit berbeza dengan 217g untuk Ivory White dan 222g bagi tiga varian warna yang lain. Selain itu, Magic V5 dilengkapi dengan penarafan IP58 dan IP59 sebagai perlindungan terhadap kemasukan air dan habuk.


Magic V5 menawarkan dua skrin OLED iaitu skrin utama bersaiz 7.95 inci dengan resolusi 2352 x 2172 piksel di bahagian dalam manakala skrin luarnya berukuran 6.43 inci dengan resolusi 2376 x 1060 piksel. Kedua-dua paparan menyokong kadar segar semula 120Hz (LTPO) dan kecerahan maksimum 5000 nits. Paparan ini juga menyokong penggunaan stylus serta dilindungi oleh HONOR Super Armored Inner Screen dan HONOR Anti-scratch NanoCrystal Shield untuk ketahanan tambahan.


Peranti turut dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite dengan padanan memori 16GB RAM dan storan 512GB. Magic V5 menjalankan sistem operasi MagicOS 9 yang berasaskan Android 15 dan dilengkapi sistem audio stereo bersama sokongan mikrofon HDR stereo 24-bit. Ia juga menyokong ciri AI Privacy Call bagi menjamin panggilan peribadi yang lebih jelas dan selamat.


Antara ciri pintar yang ditawarkan termasuk Gemini Assistant, Gemini Live Camera dan Screen Sharing, AI Writing Tools, AI Translate, AI Call Translation, Magic Portal serta AI Deepfake Detection. Ciri tambahan seperti Three Split Screen, Parallel Space dan Magic Capsule turut tersedia bagi meningkatkan kecekapan serta kemudahan penggunaan. Peranti juga dilengkapi cip RF HONOR C1+ yang membolehkan pemindahan fail antara peranti Android dan iOS termasuk iPhone serta Mac dengan lebih lancar.

Ia dilengkapi sistem kamera belakang 50MP (f/1.6) dengan OIS, telefoto periskop 64MP (f/2.5), dan ultra lebar 50MP (f/2.0). Sistem pengimejan AI menyokong ciri pintar seperti AI Enhanced Portrait, AI Super Zoom dan AI Motion Sensing Capture untuk hasil visual lebih jelas. Untuk suntingan imej dan video, peranti ini menawarkan AI Editor dengan fungsi seperti AI Image to Video, AI Outpainting, AI Eraser, AI Upscale, AI Cutout dan Live Photo.


Peranti dibekalkan oleh bateri karbon silikon 5820mAh bersama cip HONOR E2 bagi menyokong kecekapan tenaga. Ia juga menyokong pengecasan pantas melalui Honor SuperCharge dengan kadar 66W berwayar dan 50W nirwayar. Magic V5 ditawarkan pada harga jualan RM6999 di Malaysia. Pratempahan telah dibuka bersama hadiah menarik untuk pelanggan yang membuat tempahan awal.

