Malaysia Oversight

Hong Leong Bank buka cawangan baharu di Kulim Hi-Tech Park

By Utusan in October 1, 2025 – Reading time 2 minute
Hong Leong Bank buka cawangan baharu di Kulim Hi-Tech Park


PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) melancarkan cawangan komuniti baharu Meet @ HLB di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah sebagai langkah komitmen bank dalam memperkukuh ekonomi inovasi Malaysia yang menyokong perniagaan, usahawan dan komuniti di antara hab industri terpenting negara itu.

Ia selaras dengan pelan transformasi lima tahun HLB yang menumpu kepada penyediaan penyelesaian kewangan lebih khusus untuk komuniti serta pengenalan kepada cawangan utama yang dinaik taraf awal tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Kevin Lam berkata, industri bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, elektronik dan teknologi hijau adalah teras kepada aspirasi pertumbuhan Malaysia 

Katanya, perkhidmatan kewangan memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan sesebuah perniagaan. 

“Melalui cawangan komuniti baharu tersebut, kami menjadikan perbankan lebih mudah diakses oleh syarikat dan usahawan yang beroperasi dalam ekosistem pesat ini sambil menyokong para pekerja dan penduduk dalam menjadi nadi kejayaannya,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, cawangan komuniti baharu ini turut menyumbang kepada strategi lebih luas bank dalam memperkukuh sokongan terhadap perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan di seluruh negara.

Katanya, usaha ini menggabungkan pembiayaan inovatif, pengurusan tunai dan perkhidmatan nasihat dengan akses mudah melalui rangkaian cawangan serta platform digital bank tersebut.

“Inisiatif ini membolehkan syarikat multinasional, PKS dan usahawan untuk memanfaatkan kepakaran perbankan kami, membina daya tahan kewangan serta menumpukan perhatian kepada pengembangan perniagaan selaras dengan ekonomi Malaysia yang bernilai tinggi dan dipacu inovasi,” katanya. 

Perkongsian strategik bank antara Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Ogos lalu menyatakan cawangan komuniti Meet @ HLB di KHTP ini bakal berfungsi sebagai pusat sehenti yang memperkasa komuniti persekitaran termasuk perniagaan, penduduk dengan kemudahan yang diperlukan.

Ia juga sebahagian daripada strategi transformasi cawangan HLB yang memberi fokus kepada pembangunan ruang perbankan berorientasikan komuniti dengan menggabungkan khidmat nasihat pakar, pembiayaan dan perbankan digital. – UTUSAN





Source link