Malaysia Oversight

Hina OKU adalah serangan terhadap maruah

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 3 minute
Hina OKU adalah serangan terhadap maruah


Bekas menteri undang-undang itu, Zaid Ibrahim mengecam keras Ketua Pemuda , Dr Akmal Saleh, kerana didakwa memperlekeh pengkritik dengan menyamakan mereka dengan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, kenyataan Merlimau tersebut bukan sahaja sebagai “amat menghina” tetapi juga satu tanda jelas budaya politik beracun dan mundur yang memperolok golongan terpinggir, dan bukannya mempertahankan mereka.

adcbcf6b7acf77091aa7859e15495b93

“Adalah sangat tidak wajar bagi mana-mana ahli politik untuk memperalatkan ketidakupayaan sebagai satu bentuk penghinaan.

“Apabila seseorang tokoh awam menyamakan kritikan dengan ‘OKU’ – seolah-olah ketidakupayaan itu tanda kelemahan – mereka bukan sahaja menunjukkan kekurangan nilai peribadi, malah mengukuhkan lagi prejudis berbahaya dan tidak berperikemanusiaan terhadap komuniti yang sudah pun terpinggir,” katanya kepada Malaysiakini.

“Retorik seperti ini bukan sahaja kejam; malah ia merupakan satu serangan terhadap maruah – baik kepada individu OKU mahupun kepada wacana awam kita. Ia menunjukkan cara berfikir yang tertanam dalam sikap ableisme (layanan dan sikap buruk terhadap orang kurang upaya), iaitu melihat OKU bukan sebagai setara dalam masyarakat, tetapi sebagai bahan jenaka atau penghinaan bagi mempertahankan ego rapuh,” katanya.

0299ca51f6ddf02cca11381e443ed845

Zaid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda itu yang mencadangkan agar Pemuda DAP turut diberikan kad “OKU”.

Kenyataan itu dibuat selepas sayap parti tersebut mengkritik Akmal kerana terus-menerus membangkitkan kontroversi mengenai bendera negara yang dikibarkan secara terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan. Kemudiannya didedahkan bahawa insiden tersebut berlaku disebabkan seorang pekerja OKU secara tidak sengaja menaikkan bendera dalam keadaan terbalik.

1b6feae38d4a2978601db5b9e44fadad

Mempertikaikan tindakan sekolah itu yang menyerahkan tanggungjawab mengibarkan bendera kepada individu berkenaan, Akmal berkata: “Kita tidak mahu alasan OKU/orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali!”

Mengulas lanjut, Zaid, yang mendedahkan bahawa dirinya adalah pengasas inisiatif swasta paling berjaya untuk OKU iaitu “Yayasan Orang Kurang Upaya” lebih tiga dekad lalu, menegaskan bahawa pemimpin sepatutnya mempertingkatkan mutu perbincangan awam, bukan sebaliknya.

“Sesiapa yang sanggup bertindak serendah ini tidak mempunyai kedudukan moral untuk bercakap mengenai patriotisme, perpaduan atau keadilan. Mereka sepatutnya dipertanggungjawabkan – bukan sahaja secara politik, tetapi juga secara etika – kerana menormalisasi penghinaan menggantikan belas kasihan,” tambahnya.

‘Kamu bukan pemilik patriotisme’

Zaid turut menekankan bahawa ramai individu OKU yang telah menyumbang lebih banyak kepada negara ini berbanding ahli politik yang menyemai benih-benih perpecahan.

“Ketika mereka bekerja, berinovasi, mengajar, berkarya, dan memajukan komuniti, ‘pemimpin’ ini – yang dibayar dengan wang pembayar cukai – hanya menghabiskan masa menabur benih-benih perpecahan dan melontar penghinaan kebudak-budakan dari kedudukan penuh keistimewaan,” katanya lagi.

Zaid turut mengingatkan Akmal yang juga adalah exco negeri Melaka bahawa gajinya bukan hanya dibayar oleh orang Melayu, tetapi oleh rakyat Malaysia dari berbilang kaum.

37e3eafa0b2d05d29388cc561a3d937e

“Ini termasuk mereka yang kamu sering perlekeh atau pinggirkan. Kamu bukan pemilik patriotisme. Kamu bukan penentu maruah. Dan kamu sama sekali tidak berhak menghina orang lain sambil berselindung di sebalik kaum dan agama.

“Kepimpinan menuntut tanggungjawab. Tingkah laku sebegini hanya mendedahkan seorang lelaki yang terdesak, ketandusan idea, yang hanya tahu menghina kerana tidak mampu mengangkat dirinya ke tahap sepatutnya,” katanya.

Menurut Zaid, terdapat banyak cara yang lebih membina dan bijaksana untuk menonjol sebagai ahli politik – melainkan Akmal sendiri mengakui bahawa inilah tahap maksimum kapasiti inteleknya.

“Jika ini yang terbaik mampu ditawarkan olehnya, ia menceritakan segala-galanya mengenai tahap – atau kekurangannya – dalam potensi kepimpinannya,” kata Zaid lagi



Source link