Satu protes akan diadakan di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya atas kurangnya tindakan pihak berkuasa terhadap ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah Sabah.
Aktivis pro-PN, Syarul Ema Rena Abu Samah, berkata perhimpunan Tangkap Jerung itu akan diadakan pada jam 8 malam 14 Nov ini, dan para peserta digesa berpakaian serba hitam.
Dia yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga berkata skandal rasuah Sabah yang didedahkan melalui rakaman video jelas menunjukkan perbincangan dan pengakuan kegiatan tersebut.
“Namun hanya dua Adun yang dilabel sebagai ikan bilis dituduh ke mahkamah.
“Bagaimana dengan jerung selebihnya yang mempunyai kedudukan tinggi di dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang juga terlibat dalam kegiatan rasuah tersebut?” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beberapa ahli politik dikaitkan dengan skandal rasuah Sabah yang dibongkar melalui siri pendedahan sebelum ini.
Setakat ini dua Adun sudah didakwa di mahkamah pada 30 Jun lalu iaitu Andi Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin). Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah yang melibatkan lesen cari gali mineral di negeri berkenaan.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei, sebagai pertukaran untuk memudahkan permohonan lesen cari gali untuk Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Yusof yang juga pengerusi Qhazanah Sabah Bhd pula didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah bar di atas bumbung Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023. Rasuah itu didakwa bertujuan untuk membantu memproses lesen untuk Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
Pengkritik mempersoalkan mengapa hanya dua daripada 15 ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal itu telah didakwa. Mereka mempersoalkan jika ia ada kaitan dengan kedudukan Adun terbabit yang tidak memegang sebarang jawatan kanan dalam GRS.
Sementara itu Tei menyatakan sokongannya terhadap protes tersebut dan mengesahkan akan hadir sama.
“Saya menyeru lebih ramai orang untuk menyertai perhimpunan itu supaya kita dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada SPRM dan kerajaan Madani agar segera menangkap dan mendakwa jerung yang terlibat dalam skandal rasuah Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tei juga mendakwa dia berdepan dengan campur tangan dalam siasatan SPRM serta keputusan peguam negara untuk mendakwanya.
Sebelum ini Tei turut didakwa dengan dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada ahli politik.
Kata Tei pihak-pihak tertentu sedang berusaha untuk menekan dan membebankannya supaya dia menghentikan tuntutannya untuk keadilan.






