PETALING JAYA: Perubahan gaya penyampaian dalam laporan media hari ini perlu disertai dengan pematuhan kepada etika yang jelas, tanpa mengundang syak atau fitnah kepada mana-mana pihak.
Pengurus Kandungan stesen radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Teh, berkata meskipun industri media terus berkembang dengan pendekatan lebih kreatif, penyampaian mesej masih perlu berlandaskan nilai murni dan tanggungjawab sosial.
“Sejak berkhidmat sebagai pengamal media, kita terdedah kepada pelbagai teknik dan mekanisme penyampaian mesej. Namun, saya percaya mesej yang disampaikan tidak boleh mengundang kontroversi atau syak.
“Ia mesti membawa manfaat kepada masyarakat, bukan kandungan sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Wan Syahrul yang lebih dikenali sebagai Wan Ajaib dalam kalangan penggiat industri turut menekankan bahawa hiburan tidak salah selagi disampaikan dengan pendekatan berhemah dan beretika.
Beliau yang kini menerajui kandungan Zayan, stesen radio di bawah Astro Radio terus komited mengangkat mesej Muslim kontemporari menerusi gabungan nilai keimanan dan kandungan moden.
“Islam itu indah, maka cara kita menyampaikannya juga mesti indah.
”Kita boleh berhibur secara positif, menyampaikan nilai Islam dalam bentuk yang kontemporari dan menyentuh hati,” ujarnya.
Sebagai Penasihat Industri kepada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), beliau turut menyarankan agar pendekatan media hari ini digabung dengan silibus pendidikan komunikasi semasa bagi melahirkan generasi pengamal media yang lebih bertanggungjawab.
“Misi saya adalah untuk menjadikan media Islam lebih segar dan relevan dalam mendepani cabaran dunia digital.
“Media tidak seharusnya sekadar melapor, tetapi berperanan membina.
“Kita bukan hanya menyampaikan cerita, tetapi membentuk jiwa,” katanya. -UTUSAN