PARLIMEN | Kerajaan disaran menghentikan projek perumahan baru di kawasan berhampiran saluran paip gas.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, seperti yang berlaku dalam tragedi di Putra Heights pada 1 April lalu.
“Bila ada projek baru, perlu adakan satu syarat lebih ketat, supaya projek baru tak boleh diadakan di kawasan dekat dengan paip-paip ini,” katanya ketika membahaskan laporan mengenai kejadian itu yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Khoo merujuk kepada laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang mendapati berlaku pemendapan tanah sehingga 24.3cm dan pergerakan paip gas sepanjang 15.9 cm.
“Ini Jelas menunjukkan paip gas alami pergerakan ketara dalam tanah sebelum kegagalan akhirnya berlaku
“Persoalan saya pada Petronas Gas, mereka selalu mengatakan mereka menjalankan kawalan dan semakan dari semasa ke semasa, tapi kenapa pergerakan ketara sedemikian tak dikesan awal,” soalnya.

Pemimpin DAP itu turut menyatakan kebimbangan kerana Petronas Gas juga pernah memasang saluran paip gas bawah tanah di kawasannya di Kota Melaka beberapa tahun lalu.
Walaupun perkara itu mendapat bantahan daripada penduduk, Khoo mendakwa syarikat itu telah meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak perlu bimbang.
“Waktu itu bagi jaminan kata selamat, jangan risau, kalau kebocoran tak akan berlaku letupan. Tapi hari ni lihat letupan berlaku (di Putra Heights).
“Maka saya minta kerajaan, kementerian bekerjasama dengan PSSC supaya laksana syor-syor yang kita kemuka tersebut supaya pastikan semua hidup dalam suasana selamat,” katanya.
Sebelum itu, Pengerusi PSSC, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjung Manis) ketika membentangkan laporan mengenai kejadian itu, telah membuat 11 syor kepada kerajaan.
Cadangan-cadangan itu termasuk menjalankan ujian integriti ke atas injap sekat (isolation valve), membuat penilaian semula Kajian Geohazard Risk Assessment, meningkatkan kekerapan rondaan, memperketatkan prosedur kelulusan pembangunan di kawasan Right of Way (ROW), menambah bilangan peranti pengesanan untuk tujuan pemantauan, dan meningkatkan latihan kesiapsiagaan pelan tindak balas kecemasan.
Sementara itu, Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta pihak berkuasa turut meneliti kemungkinan pergerakan tanah di Putra Heights disumbangkan oleh aktiviti manusia di kawasan itu.






