PRK AYER KUNING | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan hasrat PN untuk bergabung dengan parti itu bagi membentuk kerajaan Perak hanyalah seperti mimpi di siang hari.
Dia yang juga Pengerusi BN berkata cadangan itu timbul kerana PN mungkin menyedari mereka telah kehilangan sokongan di Ayer Kuning.
Ahmad Zahid berkata penggabungan itu tidak perlu kerana Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, telah berkhidmat dengan baik, justeru Timbalan Perdana Menteri terbabit yakin segala masalah pembangunan serta keperluan rakyat dapat diselesaikan di bawah kepimpinan Adun Kota Tampan itu.
“… kalau di Ayer Kuning ini baru ada cadangan itu, saya ingat ketika ini, 12.30 tengah hari, kalau kita mimpi tentunya mimpi di siang hari,” katanya pada sidang media selepas majlis Santuni Kasih Syawal bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh, Tapah hari ini.
Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya Umno bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.
Berkenaan pengulangan isu nasional yang sering dimainkan PN ketika berkempen, Ahmad Zahid berkata, semua masalah itu tidak relevan kerana telah diselesaikan, sama seperti pada PRK Dewan Undangan Negeri Nenggiri di Kelantan dan PRK DUN Mahkota di Johor.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dia tidak pernah menyebut nama bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, dalam isu surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik Umno.
Sebelum ini, media melaporkan Mahathir menafikan dakwaan dia enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik parti berkenaan .
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi bagi PRK DUN itu.
– Bernama