Malaysia Oversight

Harimau Malaya terus tagih khidmat Palmero

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Harimau Malaya terus tagih khidmat Palmero


SUBANG JAYA: Harimau Malaya terus menagih khidmat pertahanan Unionistas de Salamanca, Gabriel Palmero apabila namanya kembali dikaitkan dengan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos bulan depan.

Kelab berkenaan dalam kenyataan di laman sosial mengesahkan pemain kelahiran Sepanyol itu sudah menerima panggilan awal daripada skuad negara.

“Pemain bola sepak, Gabriel Palmero telah dipanggil skuad kebangsaan Malaysia untuk dua aksi menentang Laos,” kata kenyataan kelab tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun, status rasmi Palmero masih tertakluk kepada pengesahan akhir Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih, Peter Cklamovski yang dijangka mengumumkan senarai penuh dalam masa terdekat.

Jika disahkan, pemain berusia 24 tahun itu dijangka terlepas dua perlawanan bersama kelab menentang AD Merida pada 12 Oktober dan CD Tenerife pada 19 Oktober.

“Dengan itu, Palmero yang akan memulakan perjalanan bersama pasukannya selepas aksi liga menentang Celta de Vigo, pasti terlepas perlawanan ketujuh liga menentang AD Merida,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Palmero turut berdepan kekangan melibatkan syarat pinjaman bersama kelab asalnya.

“Pemain tersebut juga tidak akan dapat diturunkan kerana klausa kontrak bagi perlawanan minggu kelapan yang menemukan Unionistas de Salamanca dengan Club Deportivo Tenerife, iaitu kelab asal yang meminjamkannya.”

Palmero sebelum ini sudah membuat dua penampilan bersama Malaysia termasuk ketika membantu skuad kebangsaan menewaskan Palestin 1-0, sekali gus mencuri perhatian penyokong tempatan.

Segala perhatian kini terarah kepada pengumuman rasmi FAM, sama ada Palmero benar-benar akan menjadi taruhan baharu Harimau Malaya pada Oktober ini. – UTUSAN 





Source link