Malaysia Oversight

Harimau Malaya cemerlang tewaskan Palestin 1-0

By Utusan in September 8, 2025 – Reading time 2 minute


ISKANDAR PUTERI – Penyerang warisan, Joao Figueiredo muncul wira apabila meledak gol tunggal untuk Malaysia menewaskan Palestin 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penonton, skuad Harimau Malaya beraksi garang sebaik wisel ditiupkan dengan kerap melakukan serangan dari sayap kiri.

Hasilnya, anak buah Peter Cklamovski berjaya memecah kebuntuan seawal minit kedua berpunca daripada hantaran lintang Quentin Cheng yang disudahkan Figueiredo bagi menewaskan Rami Hamada.

Jaringan itu memberi suntikan semangat buat pasukan tuan rumah untuk berterusan memberi tekanan terhadap skuad Ihab Abu Jazar yang tampak terkejut dengan gol awal itu.

Skuad kebangsaan hampir menambah jaringan pada minit ke-22 namun rembatan pemain bek, Shahrul Saad daripada jarak 35 meter ke pintu gol Palestin berjaya diselamatkan Rami.

Rami yang mempunyai 58 caps bersama skuad Lions Of Canaan itu mempamerkan ketangkasannya apabila menafikan percubaan tepat Figueiredo dan Arif Aiman Hanapi bagi memastikan gawang tidak lagi dibolosi pada babak pertama.

Pasukan pelawat turut berpeluang melancarkan serangan ke gawang Harimau Malaya menerusi rembatan deras Bader Moussa dari jarak dekat pada minit ke-32, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pantas meluru keluar menafikan percubaan itu.

Quentin Cheng sekali lagi melakukan hantaran berbahaya ke dalam kotak penalti mencari Gabriel Palmero namun pemain berdarah warisan itu gagal meletakkan bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaya meneruskan penguasaan dengan mendominasi di bahagian tengah namun tiada serangan berbahaya berjaya dijelmakan pasukan tuan rumah.

Pada minit-55, Arif Aiman bercita-cita untuk memahatkan nama dalam senarai penjaring namun rembatan yang dilakukan dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Ketika perlawanan menjangkau usia 60 minit, Cklamovski mengeluarkan Figueiredo dan Arif Aiman dan membawa masuk Safawi Rasid dan Endrick Dos Santos.

Sementara itu, Palestin meningkatkan tempo permainan pada 20 minit terakhir bagi memburu jaringan penyamaan dengan melakukan beberapa pertukaran bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Palestin hampir mengejutkan pasukan kebangsaan pada minit ke-75 menerusi tandukan Tamer Seyam namun percubaan itu terbias pemain pertahanan Malaysia dan terkeluar.

Pasukan pelawat semakin terdesak untuk memburu jaringan dengan melakukan serangan bertali arus namun tidak jaringan berjaya dihasilkan.

Sepakan percuma yang diambil Wessam Abouali pada minit kecederaan melepasi tembok pertahanan dan menewaskan Ahmad Syihan Hazmi namun sekadar menggegar tiang gol Malaysia.

Kemenangan itu menamatkan penantian 14 tahun buat Harimau Malaya untuk menewaskan Palestin setelah kali terakhir mencatatkan kemenangan adalah pada 2001.-UTUSAN





Source link