Harga Kereta Elektrik MG4 Kini Ditawarkan Bermula RM 100K
Ikhwan Nazri
Tinggal 3 bulan sahaja lagi menuju akhir tahun dan tahun ini berkemungkinan tahun akhir rebat import kereta elektrik (CBU) dilaksanakan. Ini kerana ia merupakan salah satu bentuk pelepasan cukai dalam memupuk pembelian kereta elektrik dan terdapat banyak kereta elektrik yang diperkenalkan kini menghampiri harga RM 100K. Minggu ini MG Malaysia mengumumkan harga baru untuk siri kereta elektrik MG4 mereka yang dilancarkan pada tahun lalu.

MG4 merupakan kereta elektrik hatchback yang ditawarkan dalam 3 versi iaitu MG4 Lux yang kini ditawarkan pada harga RM 100,888, MG4 Lux Extended yang mempunyai jarak perjalanan 520KM kini ditawarkan pada harga RM 128,888 manakala MG4 XPower iaitu versi dengan prestasi tertinggi dan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat, kini ditawarkan pada harga RM 138,888.
Kesemua penawaran ini juga turut disertakan dengan pilihan pengecas dinding AC 7kW atau kredit pengecasan, tertakluk kepada pilihan pengguna. Pembeli juga akan menerima jaminan selama 7 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan, jaminan bateri selama 8 tahun atau 180,000 KM jarak perbatuan, serta jaminan pacuan dan motor elektrik selama 8 tahun atau 180,000 KM jarak perbatuan.

Dengan kemaskini harga ini, ia secara tidak langsung meletakkan nilai MG4 dengan pelbagai kereta elektrik yang lain, dan dalam sini ini juga MG4 Lux Extended dengan jarak perjalanan 520KM boleh dikatakan antara yang rendah harganya jika dibandingkan dengan kereta elektrik yang lain yang mempunyai jarak perjalanan melebihi 500KM. Untuk maklumat lanjut berkenaan promosi ini, layari laman rasmi MG Malaysia.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






