Malaysia Oversight

Harapan rakyat Sabah yang tidak tercapai

By MkiniBM in October 2, 2025 – Reading time 5 minute
malaysiakini logo


Pilihan raya negeri Sabah pasti datang lagi tidak lama lagi. Bulan November ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar secara automatik kerana tempoh penggalnya sudah berakhir.

Ahad lalu saya menemui seorang warga Sabah berasal dari Tawau yang sudah menetap di . Pada Hari Raya Haji lalu beliau ada balik ke kampung.

Saya bertanya mengenai politik Sabah. Ada satu ketika saya mengikut perkembangan politik Sabah sejak remaja dari zaman Tun Datu Mustapha Harun, Harris Salleh dan Joseph Pairin Kitingan. Dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) hingga ke Parti Bersatu Sabah (PBS).

Tetapi sebenarnya, Sabah mempunyai 16 ketua menteri sejak penubuhan Malaysia. Berbanding Sarawak yang ada enam ketua menteri. Malaysia yang ada 10 perdana menteri dan Singapura hanya ada empat. Jumlah parti politik yang pernah menjadi adalah 11. Berbanding satu di Sarawak, satu di Singapura dan empat di peringkat persekutuan Malaysia.

Tetapi sejak tahun 2015, saya sudah kehilangan arah dalam mengikuti dan memahami politik Sabah. Saya tidak dapat mengira berapa parti politik yang ada, asal usulnya, fahaman politiknya dan pemain-pemainnya, serta apa yang akan berlaku pada PRN ini, dan selepasnya.

Warga Sabah yang saya temui itu adalah seorang wartawan dari etnik Bugis tetapi politik bukanlah bidangnya. Kesimpulan yang dapat saya peroleh dari perbincangan dengan beliau ialah suatu penjajaran baharu sedang berlaku dalam politik Sabah. Maksudnya suatu penyusunan semula parti-parti politik di negeri itu. Musuh akan jadi sekutu, dan sekutu akan bertukar menjadi musuh. Kesemuanya adalah untuk mendapatkan kuasa dengan menjadi ahli negeri melalui keanggotaan Dewan Undangan Negeri.

d623321b61d05cdfba08765c6614d3bf

Saya cuba hendak membuat peta pertarungan pilihan raya: Barisan Nasional (), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah dan parti-parti yang menjadi anggota komponen gabungan itu. Tetapi ia tidak semudah dan seringkas seperti apa yang berlaku di Semenanjung dan Sarawak. Akhirnya kawan saya itu memberitahu, pakatan-pakatan mantap sebelum PRN tidak dapat dilakukan. Ini kerana ia akan berubah menurut keputusan pengundian kelak. Tidak guna mencarta gambaran politik Sabah.

Tetapi apa yang paling menarik bagi saya ialah beliau mempunyai pandangan bahawa ahli-ahli politik Sabah lebih tertumpu kepada hendak memiliki kuasa dan memperkayakan diri serta keluarganya. Baginya, setelah bertahun-tahun merdeka, rakyat Sabah masih banyak kekurangan infrastruktur asas: bekalan air, elektrik dan jalan raya. Begitu juga dengan sekolah, hospital dan Internet. Amalan korupsi dan salah guna kuasa, dari menabur wang sama ada semasa pilihan raya hingga rebutan pelbagai jenis kontrak melemahkan negeri dan menjadikan rakyat sebagai mangsa. Sabah adalah negeri yang kaya dengan sumber alam tetapi ia tidak mendatangkan manfaat menyeluruh pada rakyatnya.

Kedudukan Sarawak adalah lebih baik dari Sabah. Lebuh raya Pan-Borneo pun sudah siap tetapi di sebelah Sabah, ia masih tidak sempurna. Suasana politik di sana berbeza.

Menurutnya, demonstrasi mengenai kes Zara di Sabah dan pernyataan-pernyataan menentang kerajaan Persekutuan adalah sentimen akar umbi rakyat Sabah yang tidak puas hati dengan keadaan tempatan mereka.

9f791b635b395cb82e69d4de6b34400e

Namun begitu, tentulah kedudukan Sabah adalah lebih baik daripada wilayah-wilayah Indonesia dan Filipina yang berjiran. Kalau tidak, masakan ada banyak kehadiran pendatang tanpa izin dari Kalimantan dan Mindanao. Tetapi tentulah penduduk Brunei adalah lebih bernasib baik berbanding penduduk Sarawak dan Sabah.

Pertama kali saya bertemu seorang warga Sabah ialah pada tahun 1977. Beliau adalah rakan sekelas dan satu dormitory asrama dengan saya. Beliau berasal dari Tuaran, seorang etnik Dusun dan beragama Kristian Katolik. Beliau aktif dengan kegiatan agamanya. Seorang pendebat bahasa Inggeris di sekolah. Tetapi beliau tidak memperlihatkan minat pada politik. Oleh kerana katilnya hanya sebelah saya, maka selama dua tahun saya memperoleh banyak maklumat mengenai Sabah daripadanya.

Selepas sekolah, beliau masuk universiti sama dengan saya. Beliau mengambil bidang perhutanan dan memperoleh biasiswa kerajaan. Di universiti, beliau menjadi Presiden Mahasiswa Katolik. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat sarjana pengurusan di Manila, Filipina selepas beberapa tahun menjadi pegawai perhutanan.

Pada tahun 1985, beliau menjadi ahli politik PBS yang memenangi pilihan raya negeri dan menjadi kerajaan pimpinan Ketua Menteri Joseph Pairin Kitingan. Beliau dapat mengalahkan Berjaya, sebuah parti komponen . Kawan saya itu menjadi penyelidik di Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang ditubuhkan oleh kerajaan PBS selama sembilan tahun.

18ed72a47089cefcce61c90f225e63ef

Pada tahun 1994, PBS kemudian berpecah dua. Kawan saya itu menyertai parti pecahannya bernama Parti Demokratik Sabah (PDS). Parti itu kemudian menyertai . Pada tahun 1999, ia bertukar nama menjadi Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu. Ia mengambil kependekan nama UPKO sebagai mengambil semangat parti Kadazan pertama pimpinan Fuad Stephens.

Kawan saya itu, Wilfred Madius Tangau kemudian menyertai kabinet dan menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selepas PRN tahun 2018, UPKO bersekutu dengan Warisan dan beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah. Pada tahun 2019, UPKO menjadi parti berbilang kaum dengan nama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu. Pada Ogos 2021, UPKO secara rasmi menjadi salah satu daripada empat parti komponen PH.

Pada tahun 2023, Madius sudah tidak menjadi Presiden UPKO. Beliau dilantik sebagai Presiden Kehormat UPKO yang mungkin merupakan jawatan persaraannya dalam politik.

21ebf1389cdde1c174fcb31ab0dc449a

Beliau pasti mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang Sabah. Andai kata saya kebetulan dapat bertemu beliau, tentu banyak yang saya hendak tanyakan kepadanya.

Apabila memerhati politik Sabah, kisah kerjaya ahli-ahli politik sememangnya enak dibaca. Begitu juga dengan laporan-laporan rasmi kerajaan mengenai pelbagai isu. Persaingan dan percaturan parti politik juga seronok diikuti bagi mereka yang meminati bidang politik sebagai suatu rebutan kuasa.

Tetapi bagi saya, apa yang lebih penting ialah kebajikan rakyat terutama di peringkat asas. Kisah mengenai parti politik adalah lebih berkisar pada kejayaannya dalam pilihan raya. Sedangkan bagi saya apa yang utama adalah idealisme, prinsip dan aspirasi setiap parti politik terutama yang terungkap dalam perlembagaan.

Dari situ kemudian dapat dinilai apakah pemimpin-pemimpin dan ahli parti dapat mencapai matlamat dan cita-cita. Sama ada kecil atau besar sesebuah parti, fahaman politik atau ideologi menjadi penentuan etikanya, dan kemudian dipadankan dengan dasar-dasar, pendirian, prinsip dan strateginya untuk mencapai matlamat.

Saya percaya banyak juga ahli-ahli politik Sabah yang serius dengan kerjanya untuk berkhidmat pada rakyat. Ahli-ahli politik yang korup hanyalah sebahagian saja. Dalam rungutan dan keluhan rakyat, Sabah sebenarnya mencapai banyak kemajuan dan pembangunan. Sistem kerajaan berjalan lancar. Tetapi rakyat umumnya masih tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara.

f74604f4cc7a7c98b15bd994c6a28a41

Jika parti-parti politik dan kerajaan negeri secara berterusan gagal memenuhi harapan rakyat, maka akhirnya rakyat akan kehilangan kepercayaan bukan saja kepada ahli-ahli politik dan parti-parti politik, malah sistem kerajaan dan amalan demokrasi.

Lantaran itu, akan muncul kebangkitan anak-anak muda seperti apa yang berlaku di Indonesia, Nepal, Timor Leste dan Filipina baru-baru ini yang mana Generasi Z mengibar bendera lanun “One Piece”.

Apabila kehilangan kepercayaan terhadap parti-parti politik semakin meluas, maka akan muncul kumpulan-kumpulan alternatif seperti Komrad Borneo dan Federasi yang masih saya tidak mengetahui tentang perjuangannya.

Selanjutnya apabila Sabah dianggap sebuah “negeri gagal”, bukan saja mereka akan menyalahkan kerajaan negeri tetapi juga kerajaan persekutuan. Ini kerana suatu sentimen anti-federal atau anti-Malaya diapi-apikan dengan menjadikan kerajaan persekutuan dan “orang Malaya” sebagai kambing hitam.

Maka akan muncul suatu kepercayaan bahawa segala masalah negeri boleh selesai jika Sabah berpisah dari Malaysia dengan mengambil Brunei dan Singapura sebagai contoh. Tetapi realitinya tidak semudah itu. Banyak faktor terlibat yang membuatkan Sabah dalam keadaan yang ada sekarang.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link