PAS Pahang menyambut baik dan ‘memuji’ kenyataan tegas dibuat menteri besar negeri itu, Wan Rosdy Wan Ismail, yang berazam mahu merampas semua kerusi DUN yang berada dalam kawasan parlimen Paya Besar.
Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata memang menjadi kelaziman untuk seseorang pemimpin parti politik memberikan semangat dan keyakinan kepada ahli masing-masing untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya.
Katanya, pada Sabtu lalu Wan Rosdy mengisytiharkan rancangan BN Pahang untuk merampas dua daripada tiga DUN yang kini diwakili PN iaitu Sungai Lembing dan Lepar. Satu lagi kawasan DUN di bawah Paya Besar ialah Panching.
“Sebagai pemimpin parti, MB (menteri besar) Pahang mestilah berkata begitu. Tidak mungkin seorang pemimpin parti akan berkata kepada ahli bahawa mereka bertanding untuk kalah – melainkan pemimpin terbabit terencat akalnya.
“Begitu juga saya sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang. Saya mesti berkata sebagaimana MB Pahang, dan bukan berkata sahaja, malahan mesti menggerakkan jentera untuk bekerja sekuat mungkin bagi mencapai kemenangan di semua kerusi kami tandingi,” jelasnya.
Sabtu lalu Wan Rosdy hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Paya Besar.

Rosli menjelaskan, di bawah kawasan parlimen Paya Besar, ada tiga kerusi DUN dan Umno hanya menang kerusi parlimen itu dengan majoriti 1,317 undi pada PRU ke-15 dan perbezaan itu memberi isyarat genting sehingga memaksa Umno bekerja keras jika mahu mengekalkan penguasaannya.
PAS menang di DUN Sungai Lembing dengan majoriti 1,054 undi, manakala calon Bersatu pula menang tipis dengan 419 undi di DUN Lepar.
Bagi kerusi DUN Panching, PAS menang dengan selesa apabila dijarakkan dengan 7,136 undi daripada pencabar terdekatnya, BN.
Rosli turut berkata, PAS bukan hanya menyasarkan kerusi DUN atau parlimen tertentu dalam PRU akan datang sebaliknya berhasrat untuk merampas semua kerusi – sama ada DUN atau parlimen – yang kini diwakili BN dan PH Pahang.
“Paling istimewa, kami juga bercita-cita nak tawan DUN Jelai yang dimenangi kekanda saya, MB Pahang.
“Delegasi ‘Teraju Pahang’ sedang bergerak ke sana,” katanya.
Untuk rekod kerusi Jelan terletak di bawah kawasan parlimen Cameron Highlands. Wan Rosdy memenang kerusi DUN Jelai sejak 2004.
Dalam PRU lalu dia mempertahankan kerusi Jelai dengan majorti 6,983 undi.