Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan untuk bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah yang tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.
Dia berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35), yang diperkenalkan di bawah RMK13, adalah bukti jelas komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh ekonomi bumiputera.
Dia juga menepis dakwaan bahawa kerajaan perpaduan mengutamakan komuniti tertentu berbanding yang lain dalam soal peruntukan.
“RMK13 ini harus ditelaah oleh kita semua. Jika tidak, timbul dakwaan bahawa peruntukan hanya diberikan kepada Kampung Baru Cina tetapi tiada untuk bumiputera. Ini menunjukkan (pihak yang membuat dakwaan) belum membaca dokumen RMK13.
“Perbelanjaan untuk bumiputera adalah antara yang tertinggi termasuk untuk pembangunan Rizab Melayu di bandar. Malaysia belum pernah menerima peruntukan sebesar ini sejak merdeka.
“Hanya kerajaan Madani yang berani melaksanakannya. Sebelum ini tiada, walaupun pembangkang sering melaungkan perjuangan Melayu,” katanya di Dewan Rakyat, seperti dilapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, Anwar berkata pendekatan ini tidak mengenepikan hak masyarakat lain seperti Cina, India, Orang Asli, dan etnik Sabah dan Sarawak.
Walaupun perdana menteri tidak merujuk individu tertentu, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim sebelum ini mendakwa RMK13 gagal memasukkan rancangan pembangunan yang disasarkan untuk bumiputera.
Bercakap di Parlimen semalam, ahli parlimen PAS itu menyorot peruntukan untuk perkampungan baru Cina, mendakwa perhatian yang sama tidak diberikan kepada bumiputera sambil memberi amaran kepada kerajaan kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Ahli Parlimen DAP RSN Rayer telah memfailkan usul untuk merujuk pemimpin pembangkang itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
RMK13 yang dibentangkan oleh Anwar pada 31 Julai lalu menyaksikan kerajaan meneruskan agenda ekonomi bumiputera sambil memperkenalkan inisiatif untuk mengangkat taraf sosio-ekonomi kaum Cina dan India berpendapatan rendah.
Diletakkan di bawah inisiatif kesembilan rancangan itu, Anwar berkata kerajaan Madani pimpinannya akan menggunakan pendekatan inklusif untuk memastikan rakyat dari setiap peringkat dapat menikmati faedah pembangunan Malaysia.
Antara inisiatif berpaksikan bumiputera yang sedang diteruskan untuk rancangan pembangunan lima tahun itu termasuk Majlis Amanah Rakyat, Unit Pemandu Agenda Bumiputera, UiTM dan Permodalan Nasional Berhad, yang bertujuan melahirkan lebih ramai profesional bumiputera.