Malaysia Oversight

Hannah menang saman fitnah ke atas bekas IGP

By MkiniBM in January 13, 2026 – Reading time 1 minute
Hannah menang saman fitnah ke atas bekas IGP


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menang dalam rayuannya untuk mengketepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

Dalam menyampaikan penghakiman sebulat suara mahkamah, Hakim Azimah Omar yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila menolak saman Yeoh pada tahun 2024.

Turut bersidang bersama adalah Hakim Choo Kah Sing dan Shahnaz Sulaiman.

Mahkamah turut memerintahkan Musa supaya membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM60,000 kepada Yeoh,.

Ahli Parlimen Segambut itu memfailkan saman berkenaan pada tahun 2020 selepas Musa pada satu forum di Universiti Teknologi Mara mendakwa bahawa bukunya yang bertajuk ‘Becoming Hannah’ bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Selain itu Yeoh yang ketika itu adalah menteri belia dan sukan juga dituduh mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.

Yeoh dalam autobiografi antara lain menceritakan perjalanannya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang hidupnya diubah melalui kepercayaan Kristiannya, yang kemudiannya membawanya ke dalam politik.

Selain peguam Lim Wei Jiet, pemimpin DAP itu turut diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli, S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa sebagai fitnah.



Source link