Malaysia Oversight

Hang Tuah kini Ketua Pegawai Eksekutif baharu PMB Investment

By Utusan in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Hang Tuah kini Ketua Pegawai Eksekutif baharu PMB Investment


PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) melantik Hang Tuah Amin Tajudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.

Menurut kenyataan, Hang Tuah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Dilantik) pada 1 Ogos 2025 dan secara rasmi memegang jawatan tersebut pada 7 September 2025 selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa. 

“Pelantikan ini merupakan satu pencapaian penting bagi PMB Investment dalam memacu aspirasi untuk menjadi jenama terkemuka dan dipercayai dalam pengurusan aset patuh syariah.

“Dengan pengalaman lebih 25 tahun merentasi bidang pengurusan aset, perbendaharaan dan konvensional, pendapatan tetap serta pasaran modal, Hang Tuah membawa rekod pencapaian yang terbukti dalam kepimpinan dan inovasi. 

“Beliau pernah memegang jawatan di Bank Negara Malaysia, Public Mutual Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Cagamas Berhad sebelum menyertai PMB Investment pada 2023,” katanya. 

Seorang profesional berwibawa, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol serta menamatkan pengajian A-levels di Oundle School di United Kingdom. 

Dalam pada itu, beliau juga merupakan pemegang Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA), pemegang Diploma CIMA dalam Kewangan , serta berlesen sebagai Wakil Perkhidmatan dan Pasaran Modal.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Hang Tuah merupakan Ketua Pegawai Pelaburan di PMB Investment menerajui strategi pelaburan, pengurusan portfolio dan pembangunan produk.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Mahdzir Othman berkata, pihaknya yakin dengan kewibawaan, kepimpinan berwawasan dan komitmen teguh Hang Tuah terhadap inovasi akan membuka lembaran baharu yang lebih gemilang untuk PMB Investment. 

“Pelantikan ini mencerminkan dedikasi kami dalam membina sebuah institusi pengurusan dana yang mampu menawarkan penyelesaian kewangan patuh syariah bertaraf dunia serta nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang kepentingan,” katanya. 

Pelantikan itu mengukuhkan lagi komitmen PMB Investment terhadap kecemerlangan, inovasi dan penyampaian penyelesaian kewangan patuh syariah bertaraf dunia kepada para pelanggan. – UTUSAN





Source link