Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin hari ini mengeluarkan permohonan maaf kepada ahli dan penyokong di Sabah berhubung tindakan Ketua Menteri Hajiji Noor keluar parti pada 2022.
Bercakap pada sidang media selepas melancarkan perhimpunan agung tahunan empat sayap Bersatu pagi ini, Hamzah juga berjanji bahawa episod seperti itu tidak akan berulang dalam pemilihan Sabah akan datang.
“Saya minta maaf kerana dulu memang betul Hajiji merupakan wakil kepada kita. Tetapi beliau telah membawa sokongan yang sama-sama kita kukuhkan untuk kepentingan parti, lari untuk bersama sebelah sana.
“Akhirnya kita melihat yang menjadi mangsa adalah rakyat. Kali ini kita melihat Insya-Allah rakyat akan kembali. Saya berjanji sebagai timbalan presiden, demi masa depan kita semua, ini tidak mungkin akan berlaku lagi,” kata Hamzah.
Pada Disember 2022, Hajiji berkata ahli Bersatu Sabah “sebulat suara” memutuskan untuk keluar parti dan menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, manakala Bersatu membentuk pembangkang peringkat persekutuan.
Ditanya sama ada “cinta tiga segi” yang dilaporkan antara BN, Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji akan menguntungkan PN, Hamzah menegaskan pembangkang persekutuan yang diketuai Bersatu bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negeri, menjelang pilihan raya umum ke-16 akan datang.
“Dalam apa yang saya sebutkan tadi, cuba kita lihat hari ini, mereka bersama tapi bercakaran di antara satu sama lain. Orang tengahnya siapa? Dari golongan perdana menteri sendiri.
“Berkahwin dengan sebelah kiri, berkahwin dengan sebelah kanan. Tapi kiri dan kanan tidak bertegur sapa. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak bersatu.
“Yang penting pada kita adalah melihat rakyat mahukan yang lebih baik dan kita bersedia mengambil alih demi kebaikan rakyat,” kata timbalan pengerusi Perikatan Nasional itu.
Semalam, Presiden Umno dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan bahawa pakatan gabungan itu di Sabah akan kekal secara bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dan tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Pengumuman itu, yang dibuat di Kota Kinabalu selepas mesyuarat tertutup pada Khamis malam, menamatkan spekulasi sama ada akan wujud pakatan tiga penjuru antara BN, PH dan GRS.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin secara konsisten menolak sebarang pakatan prapilihan raya dengan GRS, memetik “pengalaman pahit” dan mungkir janji daripada kerjasama terdahulu.
Dia bagaimanapun telah menyatakan bahawa pengaturan pascapilihan raya dengan blok politik lain, termasuk GRS, masih boleh dilakukan.
Hamzah pula berkata PN telah mengenal pasti calon ketua menteri gabungan itu, membayangkan masa depan negara “bergantung kepada golongan belia”.
“Kenapa saya mesti beritahu sekarang? Kadang-kadang wartawan bertanyakan sesuatu yang kami tidak akan jawab sehingga hari-hari terakhir,” balasnya apabila disoal lebih lanjut, tetapi kemudiannya memberi jaminan bahawa calon itu adalah anak tempatan dari Sabah.