PUTRAJAYA: Kira-kira 3.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, dan hampir separuh daripada mereka tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, statistik itu menunjukkan bahawa semua pihak perlu bertindak segera dan strategik untuk mengenal pasti golongan berisiko, memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan rawatan berterusan kepada mereka yang telah didiagnosis.
Dalam usaha ini, Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Program Memperkasa Pesakit Yang Hidup Dengan Diabetes (ERAT), iaitu sebuah inisiatif yang membantu pesakit untuk mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik.
Menurut beliau, program itu juga membawa pendekatan baharu dengan menggabungkan pendidikan, pemahaman tingkah laku dan pengurusan kendiri bagi membantu pesakit mengambil alih kawalan terhadap kesihatan mereka.
“Kita juga mesti memastikan semua rakyat Malaysia mendapat bantuan dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program ERAT bersempena Hari Diabetes Sedunia 2025 di sini hari ini.
Program transformatif itu dibangunkan melalui kerjasama strategik antara KKM dan Persatuan Farmasi Malaysia dan Novo Nordisk bertujuan merevolusi kaedah penjagaan dan sokongan kepada pesakit diabetes dengan memanfaatkan kepakaran ahli farmasi di Klinik Pematuhan Terapi Ubat Diabetes (DMTAC).
Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan, l kira-kira 3.6 juta orang dewasa di Malaysia atau 18.3 peratus daripada populasi dewasa, menghidap diabetes.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada mereka iaitu sekitar 1.9 juta orang tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes. – UTUSAN






