Malaysia Oversight

Hampir gila angkara ‘buatan orang’

By Utusan in September 7, 2025 – Reading time 4 minute
Hampir gila angkara 'buatan orang'


CEKAL dan tabah. Itu antara dua perkara yang saya teladani daripada pelakon lama, Shahriza Mahmud.

Artis yang dahulu sering menghiasi kaca televisyen ini tidak pernah patah semangat meskipun dihujani pelbagai dugaan.

Shahriza, 60, yang ditemui sempena sebuah majlis anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional baru-baru ini, berkongsi pelbagai pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Katanya, fasa paling mencabar adalah sekitar 29 tahun lalu, ketika negara berdepan krisis ekonomi.

Dalam ramai orang terjejas kerana hilang punca pendapatan, Shahriza ibarat peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga.

Selain tiada tawaran berlakon, dia turut berdepan konflik rumah tangga dan terkena buatan orang.

“Masa itu bertimpa-timpa ujian datang. Ketika itu jugalah saya alami masalah kewangan, rumah tangga bergolak, punca pendapatan merosot dan sebagainya.

“Pada masa sama saya terkena ‘buatan’ orang angkara dengki rakan industri sendiri. Sihir itu dihantar dalam gumpalan rambut bertujuan membuat saya gila. Bila kena, fikiran kosong, emosi turun naik serta minda tertutup.

“Macam-macam gangguan saya terima, selalu dengar bunyi orang tabur pasir dalam rumah. Pada masa yang sama, masuk sahaja waktu Asar, saya rasa mengantuk dan mudah tertidur. Keadaan (tertidur) ini pernah berlaku sewaktu saya memandu.

“Sihir itu membuatkan saya panas baran. Saya pernah ‘bersilat’ ketika hujan hanya kerana marahkan kawan yang memakai kereta saya untuk membawa teman lelakinya ke Port Dickson. Bila sedarkan diri, saya hairan kenapa sampai begitu sekali ‘kegilaan’ saya waktu itu,” kongsinya.

Shahriza pergi ke satu tempat ke tampat lain untuk mencari kesembuhan. Katanya pelbagai usaha dilakukan meskipun kesihatannya ketika itu semakin lama, merosot.

“Banyak tempat saya pergi. Ramai juga perawat yang menolak, kata mereka tak sanggup. Saya sembuh pun selepas dirawat seorang pemandu teksi yang diperkenalkan ibu dan bapa saudara saya.

“Beberapa kejadian pelik berlaku sepanjang satu minggu saya dirawat pakcik tersebut. Antaranya helaian rambut dipotong halus melekat pada tisu yang diusap ke dahi saya.

“Sepanjang tempoh rawatan itu saya dapat rasakan fikiran saya, sedikit demi sedikit terbuka.

“Dalam hati saya kata ya Allah, saya dapat tengok dunia semula. Saya bayangkan, keadaan saya tidak dipulihkan, nescaya hari ini saya menjadi orang yang tak waras,” kongsinya.

img051

KENCING TIKUS

Shahriza mengimbau pengalaman lima tahun lalu ketika dia diserang penyakit kencing tikus.

Pelakon ini tidak pernah terfikir takungan air yang dipijak ketika bersiar-siar di sebuah taman rekreasi menjadi punca dia dijangkiti penyakit tersebut.

“Kejadian ini berlaku ketika pandemik. Tetapi perintah kawalan pergerakan dilonggarkan. Jadi saya dan beberapa rakan rancang pergi ke sebuah taman rekreasi paya bakau di .

“Saya memilih untuk tidak mengikut rakan-rakan masuk ke dalam taman rekreasi itu disebabkan cuaca panas, jadi saya berjalan-jalan dan mengambil gambar di kawasan sekitar.

“Kerana terlalu menikmati pemandangan sekeliling, saya tidak sedar yang kaki saya terpijak lopak air di kawasan berkenaan. Satu jam selepas itu, badan saya teruk menggigil,” ceritanya.

Kongsi Shahriza, dia hanya dibawa ke hospital apabila keadaannya bertambah buruk dan mula mengalami gejala tertentu.

“Saya sangka yang saya alami itu cuma demam biasa. Lama kelamaan otot dan sendi saya terasa sakit, mengalami muntah-muntah dan bahagian ari-ari saya terasa seperti dipulas.

“Keadaan saya menjadi tidak terkawal apabila saya mula meracau. Saya dikejarkan ke Hospital dan tidak sedarkan diri dalam beberapa hari.

“Saya bersyukur kerana diri saya sempat diselamatkan sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

img047

MASIH BERLAKON

“Saya tidak pernah berhenti berlakon malah sentiasa menunggu tawaran lakonan untuk menampung kehidupan.”

Itu jawapan Shahriza apabila ditanya tentang punca pendapatannya selain berniaga di pasar malam.

Dia yang diuji masalah saraf dan penyakit slip disc berpunca kemalangan basikal lapan tahun lepas, masih aktif berlakon meskipun bergantung kepada ubat tahan sakit untuk membolehkan dia bekerja.

“Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Inap Puaka. Itu adalah kerja lakonan pertama saya selepas empat tahun.

“Dalam keadaan bertongkat, saya ikut penggambaran yang ada antara lokasinya di tengah sawah. Babak menari juga saya buat, saya sudah tidak fikirkan soal sakit dan sebagainya.

“Bermacam cara saya buat semata-mata untuk memberitahu yang saya ini masih aktif berlakon.

“Saya harap ada penerbit yang sudi ambil saya berlakon. Saya sedia terima tawaran bila-bila masa,” ujarnya.





Source link