Malaysia Oversight

Hampir 1.8 juta pelancong China lawat Malaysia tahun ini

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 1 minute
Hampir 1.8 juta pelancong China lawat Malaysia tahun ini


PARLIMEN l Hampir 1.8 juta pelancong dari direkodkan berkunjung ke Malaysia dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini susulan pelaksanaan pengecualian visa kepada rakyat negara itu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata sejak dasar berkenaan dilaksanakan pada 2024, jumlah ketibaan pelancong melonjak daripada 1.6 juta pada 2023 kepada 3.4 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata kementerian dengan kerjasama persatuan agensi pelancongan giat melaksanakan pelbagai inisiatif promosi bagi menarik kedatangan pelancong , khususnya golongan Muslim.

“Antaranya, kita membawa lebih 100 imam dari China dan Eropah untuk melihat sendiri konsep pelancongan mesra Muslim yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai usaha menarik pelancong Muslim dari China ke Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai strategi kementerian bagi agihan manfaat dan limpahan ekonomi kepada negeri Pantai Timur, Khairul Firdaus berkata promosi bersepadu dijalankan melalui Tourism Malaysia dan Pusat Pelancongan (ITC) untuk memperkenal produk seperti Masjid Kristal ke pasaran Asean, Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan.

“Usaha ini juga berkait rapat dengan kebudayaan masyarakat setempat dan apabila elemen-elemen ini dapat dibawa dalam promosi, ia akan memberikan limpahan kepada industri seperti inap desa, kraftangan, dan makanan warisan,” katanya.

– Bernama



Source link