Malaysia Oversight

Hakim Danish terus mara ke Q2 di GP Portugal

By Utusan in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
Hakim Danish terus mara ke Q2 di GP Portugal


PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempah slot ke sesi kelayakan 2 (Q2) selepas berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ke-12 pada sesi latihan bagi kelas Moto3, Grand Prix (GP) Motosikal Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, semalam.

Memacu jentera KTM, anak muda berusia 18 tahun itu mencatat masa sepusingan 1 minit 47.899 saat (s) yang menyaksikannya berada dalam kelompok 14 pelumba terbaik yang layak secara automatik ke Q2.

Mengungguli sesi latihan tersebut, pelumba Leopard Racing, David Alamansa dengan catatan masa sepusingan terpantas 1:47.056s, manakala, Taiyo Furusato dari Honda Team Asia di tempat kedua (1:47.191s) dan pelumba CFMoto Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles di kedudukan ketiga (1:47.295s).

Selaku pelumba ganti kepada pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang menjalani pembedahan di jarinya, Hakim Danish akan beraksi bersama pasukan Frinsa MT Helmets-MSi sehingga GP Valencia, minggu depan yang merupakan saingan penutup musim.

Penampilan di Portugal merupakan aksi kedua pelumba kelahiran Terengganu itu pada Kejuaraan Dunia dan dia nampaknya mampu bersaing dengan pelumba-pelumba tetap Moto3, apabila berjaya berada dalam kedudukan kompetitif sejak GP Malaysia lagi.

Bernaung di bawah pasukan No. 2 dunia dari Sepanyol itu, Hakim Danish berkata, dia tiada isu komunikasi dengan mekanik pasukan memandangkan kru berkenaan turut bekerjasama dengannya dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.

“Secara keseluruhan untuk hari ini (semalam), saya gembira dapat pergi ke Q2 dan saya punya mekanik saya berasa sangat baik.

“Komunikasi pun baik, sebab saya juga bekerja dengan dia orang dekat JuniorGP, mekanik abang Firdaus pun ada, jadi ia buat saya lebih semangat,” katanya dalam satu kiriman video dari Portugal, hari ini.

Mengulas pula mengenai jentera KTM yang dipacunya, Hakim Danish berkata, semasa sesi latihan bebas pertama (FP1), dia berasa kurang selesa dengan pelarasan jentera.

“Kemudian semasa sesi latihan tadi pasukan selaraskan semula motosikal saya dan saya berasa lebih baik sewaktu masuk selekoh.

“Saya boleh pacu jentera lebih laju di selekoh dan saya boleh buka minyak awal. Dalam sesi latihan juga saya berjaya perbaiki cara tunggangan saya, trek ini agak mencabar, bagi saya trek ini unik kerana kena turun, naik bukit,” katanya.

Hakim Danish bakal beraksi pada Q2 pukul 9.10 malam ini bagi penentuan grid dan untuk perlumbaan pula dijangka berlangsung pukul 10.30 malam, esok. – UTUSAN





Source link