Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan bahawa pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang merupakan penglibatan terakhirnya dalam dunia politik.
Menurut The Borneo Post, kenyataan itu dibuat Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berusia 70 tahun itu dalam satu majlis yang diadakan di Tuaran, Sabah, semalam, menandakan penamat kepada kerjaya politiknya yang telah berlangsung lebih tiga dekad.
“Sebenarnya saya amat letih dengan politik. Saya sudah tua, walaupun hati masih ‘muda’.
“Separuh daripada hidup saya telah dihabiskan sebagai wakil rakyat selama 35 tahun. Sekarang saya berumur 70 tahun,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lapan penggal itu.
Hajiji, yang mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga merupakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) berkata dia juga telah memaklumkan keputusannya itu kepada pengundi di kawasan Sulaman.
Ahli politik kelahiran Tuaran itu pernah berkhidmat sebagai penjawat awam sebelum menyertai politik pada tahun 1990 melalui Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang kini telah dibubarkan.
Selepas pembubaran Usno, Hajiji menyertai Umno pada 1994.
Selepas kejatuhan BN pada tahun 2020, Hajiji mengetuai kumpulan bekas pemimpin Umno Sabah menyertai Bersatu.
Dua tahun kemudian, selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15, Hajiji sekali lagi mengetuai satu lagi peralihan kuasa dan kali ini keluar dari Bersatu untuk menubuhkan Gagasan.
Menurut The Borneo Post, pengumuman persaraan Hajiji itu hadir ketika GRS sedang mempertimbangkan untuk memasukkan had dua penggal bagi jawatan ketua menteri dalam manifesto pilihan rayanya.
Hajiji, yang dikaitkan dengan skandal rasuah lesen perlombongan di Sabah bersama lebih sedozen wakil rakyat GRS lain, berkata sudah tiba masanya untuk menyerahkan kepimpinan kepada barisan pemimpin muda.
PRN Sabah akan datang perlu diadakan selewat-lewatnya 7 Disember tahun ini dan dijangka menyaksikan peralihan pakatan serta pertandingan pelbagai penjuru, dengan GRS dijangka bertembung dengan BN walaupun terdapat “pakatan cinta tiga segi” antara Pakatan Harapan, BN dan GRS.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir sebelum ini menyifatkan GRS sebagai “liabiliti” menjelang tempoh berkempen, pandangan yang turut dikongsi oleh Ketua PKR Sabah, Mustafar Sakmud.
The Borneo Post turut melaporkan bahawa Hajiji menyorot mengenai pendidikan dan pembangunan modal insan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Belum pernah sebelum ini kita melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pembangunan modal insan dan pendidikan di Sabah,” katanya, merujuk kepada RM1.33 bilion yang telah disalurkan ke sektor itu dalam tempoh lima tahun lalu.
Hajiji turut menyatakan bahawa jumlah biasiswa negeri telah meningkat daripada RM50 juta kepada RM138 juta tahun ini, dan berjanji untuk meningkatkan jumlah itu lagi pada tahun hadapan.