Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata dia berhasrat melantik seorang timbalan ketua menteri daripada kaum Cina sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merpetahnkan kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
Berucap di hadapan tetamu yang hadiri di Dewan Hakka, Kota Kinabalu malam tadi, Hajiji turut mengakui peranan dan sumbangan besar masyarakat Cina dalam pembangunan serta kemajuan negeri itu sejak dahulu lagi.
“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Malah, sumbangan masyarakat Cina di Sabah merangkumi pelbagai bidang dan sektor.
“Sekiranya kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai timbalan ketua menteri,” katanya seperti dipetik oleh New Straits Times.
Pengerusi GRS itu turut berkata dia sebelum ini telah melantik ramai pakar dan penasihat daripada kaum Cina dalam pelbagai bidang seperti minyak dan gas, kewangan, pelaburan serta undang-undang.
Terbaru, katanya, dia telah melantik bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, David Wong Dah Wah untuk mengetuai Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah (SLRAC).
Majlis itu ditubuhkan pada Julai lalu sebagai sebuah badan bebas bagi memperkukuh sistem perundangan negeri.
Hajiji menjelaskan bahawa majlis tersebut bertujuan meneliti undang-undang lapuk, mencadangkan pembaharuan, dan memastikan pentadbiran selaras dengan keperluan semasa.
“Inilah cara kita memperbaiki tadbir urus negeri, memastikan Sabah kekal progresif dan dihormati,” tambahnya.
Menurut Free Malaysia Today, Hajiji juga mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah akan dibubarkan sebelum penggalnya berakhir pada 11 November.
Bagaimanapun, dia tidak menyebut sama ada pembubaran itu akan diumumkan bulan depan atau pada bulan November.
Pilihan raya negeri mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 Disember 2025 dan dijangka menyaksikan persaingan pelbagai penjuru, dengan GRS dijangka berdepan BN meskipun wujud “pakatan cinta tiga segi” yang diusahakan oleh PH.