Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini secara tersirat menyindir pembangkang dengan mendakwa mereka seolah-olah meninggalkan peranan tradisinya, iaitu membangkitkan isu rasuah.
Anwar berkata dia hairan dengan sikap pembangkang yang dilihat membisu, yang menurutnya sangat berbeza berbanding pendekatan pembangkang sebelum ini — termasuk dia sendiri — yang lantang membangkitkan isu tersebut.
“Sebab itu kalau lihat umpanya di kalangan pembangkang, tak banyak bicara soal rasuah. Hairan,” katanya semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Dia membandingkan pengalamannya semasa menjadi pembangkang, dengan menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah adalah teras utama dalam wacana politik pembangkang ketika itu.
“Kalau masa saya pembangkang dulu, rasuah (agenda) nombor satu. Sekarang hmm…,” katanya secara tergantung, bagi menunjukkan kelompongan retorik pihak pembangkang berkenaan rasuah.
Malah Anwar mendakwa ada di kalangan pembangkang yang giat menghalang usaha antirasuah melalui proses Parlimen.
Berbanding menyokong siasatan terhadap kekayaan luar biasa, dia mendakwa pembangkang kini menggunakan platform mereka untuk melakukan sebaliknya.
Dia menggambarkan pembangkang kini lebih cenderung melindungi golongan kaya berbanding menegakkan keadilan, dengan merujuk kes melibatkan seorang individu yang mengumpul kekayaan RM4 bilion melalui urus niaga yang tidak jelas.
“Maknanya guna ruang Parlimen untuk pertahan orang yang memegang kekayaan berbilion-bilion.
“(Orang itu) Niaga apa? Tak tahu. Tapi berapa kekayaan? RM4 bilion. Niaga apa? Dia beli saham agaknya.
“Bila dia meninggal, berapa nilai dana (tinggalannya)? RM2 bilion. Ini betul-betul tak boleh diterima,” katanya.
Anwar bagaimanapun tidak menyebut mana-mana individu secara terus.
Dia turut mengkritik kecenderungan pembangkang yang menurutnya meraih simpati terhadap mereka yang sedang disiasat.
“Bahkan bila kita ambil tindakan, (mereka kata) ‘mana boleh, kesian. Dia tua dah atau dia sudah tiada’.
“Kita bukan nak hukum orang mati, kita nak ambil balik duit yang dia ambil secara tidak sah,” katanya lagi.
Kritikan pembangkang
Serangan Anwar hari ini di tengah pentadbirannya sendiri sedang berdepan tekanan untuk menunaikan janji pentadbiran bersih dan membanteras rasuah sistemik, yang menurutnya sudah berakar dalam budaya politik Malaysia.
Bertentangan dengan dakwaan Anwar, pembangkang mutakhir ini menyuarakan kritikan terhadapnya dan kerajaan susulan beberapa pendedahan, termasuk skandal rasuah perlombongan yang melibatkan sejumlah wakil rakyat Sabah.
Bekas pegawai Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, turut dikaitkan dengan dakwaan yang sebuah syarikat yang ada kaitan dengannya mendapat lesen meneroka arang batu di Sabah.
Farhash menafikan dakwaan tersebut namun portal MalaysiaNow telah mendedahkan beberapa bukti termasuk rakaman audio yang dikaitkan dengan tuduhan berkenaan.
Dalam ucapannya, Anwar sekali lagi menolak desakan agar dia meletakkan jawatan dan menegaskan desakan itu tidak akan memberi kesan politik.
Himpunan Turun Anwar dijangka berlangsung mulai pada jam dua petang, Sabtu ini di Kuala Lumpur, dan merupakan kemuncak kepada siri perhimpunan kecil anjuran pembangkang yang menuntut Anwar meletakkan jawatan.