HAIKOU: Wilayah Hainan di selatan China mengeluarkan amaran taufan Tahap IV pada 8 pagi Ahad susulan pengesanan Taufan Tapah, ribut ke-16 tahun ini, lapor Xinhua.
Pada 7 pagi Ahad, pusat Taufan Tapah berada di Laut China Selatan, kira-kira 445 kilometer tenggara Daerah Dianbai di Bandar Maoming, Wilayah Guangdong, dengan kelajuan angin maksimum 23 meter sesaat berhampiran pusatnya, menurut balai pemerhati meteorologi wilayah Hainan.
Taufan Tapah dijangka bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam sambil perlahan-lahan menguat.
Ia dijangka menghampiri kawasan pantai di tengah dan barat Guangdong serta membadai antara bandar Zhuhai dan Zhanjiang dari awal pagi hingga tengah hari Ahad sebagai ribut tropika kuat atau taufan. Keamatannya dijangka beransur lemah selepas membadai daratan, menurut pihak berkuasa meteorologi.
Akibat taufan itu, Selat Qiongzhou dan Teluk Beibu dijangka mengalami tiupan angin timur dengan kekuatan lima pada Ahad, dengan tiupan kencang mencecah kekuatan tujuh hingga lapan semasa ribut petir.
Kekuatan angin di kawasan laut timur Pulau Hainan dijangka meningkat kepada kekuatan tujuh hingga sembilan dengan tiupan kencang mencecah kekuatan 10 hingga 11. Kawasan laut berhampiran Kepulauan Xisha dan Zhongsha pula dijangka mengalami angin kencang, mencecah kekuatan enam hingga lapan dengan tiupan kencang antara lapan hingga 10.
China mempunyai sistem tindak balas kecemasan empat peringkat, dengan Tahap I mewakili tahap paling serius- BERNAMA-XINHUA