PETALING JAYA: Bintang petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, bakal menjadi sandaran utama Malaysia apabila mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Petanque Asia yang membuka tirai esok di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras.
Pemenang pingat gangsa acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Rom, Itali, September lalu, kini menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara mampu menaiki podium di laman sendiri.
Bukan sekadar pengalaman dan reputasi, Hafizuddin turut membawa semangat baharu buat kontinjen negara yang optimis mengekalkan rentak positif di pentas Asia.
Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (SBF), Cheah Ban Cheng berkata, ini adalah satu penghormatan besar buat Malaysia apabila dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025.
“Ia satu penghormatan besar buat Malaysia kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan penting peringkat benua ini.
“Kami sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan amat berbangga untuk menganjurkan acara yang mencerminkan tahap tertinggi dalam persaingan dan layanan. Penyertaan yang kukuh dari seluruh Asia terutamanya negara-negara Sukan SEA menjadikan edisi kali ini lebih menarik.
“Pasukan kebangsaan kita sedang membina momentum yang mantap di pentas dunia, dan kejohanan ini adalah platform terbaik untuk menguji kemampuan mereka menentang yang terbaik dari Asia sebelum ke temasya serantau di Thailand,” katanya.
Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini, selepas edisi 2018 dan 2023, susulan perpindahan venue asal dari Iran kerana faktor keselamatan dan logistik.
Sebanyak 141 peserta dari 15 negara akan bersaing dalam dua acara utama ‘precision shooting’ dan ‘triple’ bagi kategori lelaki, wanita serta remaja sepanjang empat hari kejohanan.
Edisi kali ini turut dianggap sebagai medan terbaik menguji keupayaan skuad negara menjelang Sukan Sea Thailand, dengan lapan negara Asia Tenggara, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei, menjadikan kejohanan ini sebagai platform pemanas badan terakhir.
Dengan momentum positif dan kelebihan beraksi di laman sendiri, harapan tinggi disandarkan kepada Hafizuddin dan rakan sepasukan untuk membawa pulang keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.-UTUSAN






