Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram bernilai RM145,000.
Muhammad Hafizuddeain, 58, yang tiba pada jam 8.29 pagi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Mohd Nasir Nordin.
“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah,” katanya selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.
Muhammad Hafizuddeain ialah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Mengikut pertuduhan, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke sebuah akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Ampang Point, Ampang antara 2 Feb 2024 hingga 19 Mei 2025.
[Laporan lanjut menyusul]






