Malaysia Oversight

Hafaz 27 muka surat 3 hari, pencapaian tertinggi peserta Kem Pecutan Hafazan MRSM Ulul Albab Semalaysia

By Utusan in December 31, 2025 – Reading time 2 minute


: Berjaya menghafaz 27 muka surat al-Quran dalam tempoh tiga hari. Itu pencapaian tertinggi peserta Kem Pecutan Hafazan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Semalaysia yang diadakan di Masjid Negara pada 24 hingga 26 Disember lalu.

Seramai 58 pelajar dari MRSM menerusi program ulul albab menyertai kem berkenaan anjuran Biro Ulul Albab Muafakat Mara Malaysia bertujuan memberi fokus kepada Kelas Hafazan al-Quran dipimpin tujuh orang guru yang diseliakan Ustaz Mohd Nazri Mohd Tahir.

Menurut Ketua Bironya, Datuk Ahmad Shamsuddin Ramli, kem berkenaan turut diselitkan dengan program tambahan STEM Quranik (Ilmu Falak) serta Modul Imam Muda dan Taranum dalam usaha melahirkan huffaz Mara profesional.

“Majoriti pelajar berjaya mencapai sasaran kem iaitu 10 muka surat bersamaan dua minggu sesi tasmik ketika waktu persekolahan.

“Dalam kem ini, kita mengguna pakai tiga teras utama dalam kemenjadian Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik,” katanya di sini semalam.

Menurut Ahmad Shamsuddin, bagi domain Quranik, kem ini memberikan fokus utama kepada kelas hafazan dan bimbingan hafazan dengan peserta dibekalkan e-book panduan menghafaz bagi beberapa pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan.

Pada masa sama, katanya, mod pembelajaran tambahan melalui program STEM Quranik dengan perkongsian ilmu al-Quran dan Sains telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Dr Azhari Mohamed dan Pengarah Planetarium Negara, Zamani Shah.

“Sesi ini peserta dikongsikan tentang ilmu falak, penentuan arah kiblat dan matematik kepada semua peserta yang disatukan di bawah domain Ensiklopedik.

“Bagi domain ijtihadik, kita berikan pengalaman baharu kepada peserta dengan slot khas bersama Imam Masjid Negara dalam modul imam muda dan bengkel taranum bersama Qariah ,” katanya.

Program kerjasama Masjid Negara dan Planetarium Negara itu mendapat maklum balas memeberansangkan daripada pelajar dan ibu bapa dalam membantu hafazan pelajar. – UTUSAN

 





Source link