Ahi perniagaan Albert Tei mendedahkan tangkap layar perbualan Whatsapp, yang didakwa menunjukkan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan menerima wang daripadanya.
Dalam perkembangan terkini skandal perlombongan Sabah, tangkap layar itu, sebahagiannya disunting, muncul selepas pembantu Kitingan, Rizal Johari, menafikan dakwaan rasuah selepas Tei mengeluarkan video yang mendakwa mereka membincangkan transaksi tersebut.
Dalam 12 tangkap layar itu, dikatakan perbualan antara Tei dan Kitingan, bertarikh antara April dan Disember 2023.
Dalam perbualan pada 14 Disember, Kitingan kononnya berkongsi butiran akaun bank CIMB dengan mesej: “Kalau ada Christmas gift ( hadiah Krismas). Tq. God bless you (Tuhan rahmati kamu)… Saya doakan 2024 akan jadi tahun yang berjaya.”
Pada 21 Disember, Tei memaklumkan dia mendepositkan RM10,000 dan mengucapkan “Merry Christmas” (Selamat Hari Natal). Ahli perniagaan itu menjelaskan dia hanya mampu RM10,000 kerana Ketua Menteri Hajiji Noor menyekat semua projeknya.
Satu lagi mesej, bertarikh 2 Julai 2023, menunjukkan Kitingan kononnya meminta RM200,000 daripada Tei untuk membeli sebidang tanah, yang mana Tei menjawab: “Okay DSP (Datuk Seri Panglima), no problem, saya akan uruskan.”
Pada 14 Julai, Kitingan kononnya meminta “tambahan 50 untuk belanja,” yang mana Tei menjawab disebabkan masalah perbankan, dia hanya boleh menghantar “100” segera, dengan baki diselesaikan pada hujung bulan.
Dalam mesej yang sama, Kitingan juga dikatakan memberitahu Tei untuk bertemu dengannya di biliknya di Pavilion Hotel sebelum pergi sarapan bersama.
Dalam perbualan bertarikh 25 Mei, Kitingan kononnya meminta dana daripada Tei untuk pengangkutan dan penginapan “deligates (sic)”.
“… saya perlukan beberapa dana untuk tetamu Dayak (sic) dari Kalimantan dan Sarawak… lebih baik beri 50. Terima kasih Albert,” kata mesej itu. Tei, dalam jawapannya, bersetuju untuk menyediakan dana.
Menariknya, anggota parlimen Keningau itu, yang sering digambarkan sebagai ‘katak politik’ terbesar Sabah, juga kononnya merujuk kepada RUU Antilommpat dalam perbualan yang sama.
“RUU Antilommpat very hot debate but we got more than two-third vites (sic), (perbahasan sangat hangat tetapi kita dapat lebih dari dua pertiga undi)” kata mesej itu.
Dalam perbualan awal bertarikh 23 April 2023, Tei diberitahu RM100,000 diperlukan untuk Kaamatan (pesta menuai) dan bertanya sama ada dia boleh menyumbang, yang dia menjawab: “No problem.”
Dalam perbualan susulan pada 27 April, Tei menulis “100 already given to Rizal, (100 sudah diberikan)” yang orang itu menjawab: “Terima kasih DAT, Rizal sudah maklumkan saya.” Difahamkan DAT bermaksud Dato Albert Tei.
Perbualan dari 6 September mengandungi butiran akaun bank CIMB di mana Kitingan kononnya meminta Tei “transfer 20k… today (hari ini)” dan Tei menjawab, “Baiklah, saya akan uruskan sekarang.”
Dalam perbualan seterusnya pada 15 September, Kitingan memberitahu Tei dia “needs some RM 2morw… 100 only urgent. (Perlu sedikit duit esok.)”
Dalam jawapannya, Tei berkata: “Baiklah, saya akan aturkan kepada DSP. Esok beri pada Rizal. Saya di KL sekarang, esok pagi serahkan kepada Rizal, penerbangan dia petang.”
Dalam perbualan yang sama, Tei membangkitkan projek perlombongan silika dan meminta ketua menteri dipujuk agar tidak “mengganggunya”, merujuk projek itu sebagai “tabung ayam” mereka.
Kemudian pada hari itu, dalam mesej lain, Tei menulis: “…100k handed to Rizal. Done…” (100,000 telah diberikan kepada Rizal, selesai), yang disambut dengan respons yang mengandungi tiga emoji “thumbs up”.
Malaysiakini telah menghubungi Kitingan untuk mendapatkan komen.
Rizal ketika dihubungi enggan mengulas atas nasihat peguam, memandangkan kes itu sedang disiasat oleh SPRM.
Pada 24 September, Tei mengeluarkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang butiran transaksi didakwa dibincangkan. Usahawan itu mendakwa ahli politik veteran itu menerima RM1.78 juta daripadanya.
Selepas Kitingan menafikan penglibatan dalam skandal perlombongan, Tei mendedahkan dua dokumen untuk menyokong dakwaannya.
Di bawah adalah tangkap layar perbualan Whatsapp:















