MUKTAMAR PAS | Di sebalik semangat sayap muda partinya mahu pemimpin mereka diangkat sebagai calon perdana menteri pembangkang, Abdul Hadi Awang sebaliknya menghantar isyarat kepada mereka agar lebih berhati-hati dalam percaturan.
Presiden PAS itu berkata tidak wajar Pemuda PAS bertindak tergesa-gesa dalam langkah mencari kemenangan sebaliknya perlu memberi perhatian kepada gerak kerja mencapai kemenangan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata dia melihat Pemuda PAS begitu bersemangat untuk melihat parti itu menamakan seorang pemimpin sebagai calon perdana menteri.
Berucap pada sesi penggulungan hari ini, Abdul Hadi “menghadiahkan” serangkap pantun kepada Pemuda PAS untuk menegaskan pesanan tersebut.
“Dari Kuala Muda pergi ke Ipoh,
Berbekal ketupat pergi ke Pangkor;
Orang muda memang gopoh,
Dah nak melompat nanti tersungkur.”
Bahkan secara berseloroh Abdul Hadi berkata, Pemuda PAS tidak akan dapat menjawab pantun berkenaan kerana dia tidak memberikan ruang untuk mereka berbuat demikian.
Dia juga mengingatkan semua ahli parti agar yakin bahawa Islam akan mencapai kemenangan seperti yang dijanjikan oleh Allah, namun ia akan berlaku pada waktu yang ditentukan-Nya.
Pemuda PAS pada muktamar mereka Jumaat lalu sebulat suara meluluskan resolusi menggesa kepimpinan parti mengambil alih tampuk kepimpinan PN kerana beranggapan sudah tiba masanya untuk parti Islam itu mentadbir Malaysia.
Resolusi itu kemudian dibawa ke muktamar utama PAS hari ini dan turut diluluskan oleh perwakilan.

Ia adalah reaksi jelas daripada PAS ekoran tindakan sepihak Bersatu menamakan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri PN baru-baru ini. Ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh Bersatu dalam perhimpunan agung tahunan mereka.
Bagaimanapun Bersatu menegaskan mereka terbuka jika parti komponen PN yang lain mahu menamakan tokoh lain sebagai calon masing-masing.
Syaitan bikin was-was
Sementara itu dalam penggulungan sama Abdul Hadi turut menekankan aspek walak kepada ahli PAS sebaik saja sebarang ketetapan diambil oleh pemimpin parti.
Peringatan itu dibuat, katanya, apabila ada sesetengah ahli yang dilihat gagal menghormati pemimpin atau keputusan yang sudah dibuat pihak atasan.
Berdasarkan keadaan semasa, kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai dibuat sebagai persediaan PAS dan PN menghadapi pilihan raya – sama ada di peringkat negeri atau persekutuan tidak lama lagi.
Lazimnya sesebuah parti akan berdepan dengan isu pemilihan calon.
Katanya pemimpin atasan – apabila membuat keputusan mengenai seseorang calon – akan membuat penilaian dalam skop yang luas bagi memastikan peluang mereka untuk menang adalah besar.
Menurut Abdul Hadi, kegagalan ahli berwalak itu turut dipengaruhi oleh “syaitan” yang bertujuan mahu melihat parti berkenaan berpecah-belah.
“Ini jadi satu masalah pada kita (apabila) ketaatan, walak ini diwas-waskan oleh syaitan (yang) mencelah (bagi) menimbulkan rasa tidak bersepakat.
“Sepatutnya kita bersatu dalam titik persamaan, tetap bersama walau berbeda pendapat,” katanya.