MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpendapat pemimpin berumur atas 70 tahun tidak sepatutnya menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian pada sidang media ketika ditanya apakah dia bersedia menawarkan diri sebagai calon perdana menteri mewakili PN.
“Quran kata pilih pemimpin berilmu integriti dan sihat tubuh badan.
“Orang macam saya tak layak dah. Paling sihat dulu yang bawah 70 tahun jadi perdana menteri.
“Biarlah orang yang kuat,” kata Abdul Hadi dalam sidang media ketika Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-71 yang diadakan di Alor Setar, Kedah hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi menyatakan kesediaan parti itu untuk mengambil alih kepimpinan negara.
Menurutnya, PAS mahu menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya umum akan datang berbanding membincangkan siapa calon perdana menteri.
Abdul Hadi berkata perkara itu boleh dibincangkan dan diputuskan secara dalaman oleh kepimpinan PN selepas memperoleh kemenangan dalam pilihan raya.
Untuk rekod Abdul Hadi kini berusia 77 tahun dan menghadapi masalah kesihatan selain telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.
Namun pandangannya mengenai umur calon perdana menteri itu juga dilihat sebagai isyarat kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini dicalonkan Bersatu untuk menjadi calon perdana menteri PN.

Muhyiddin yang kini berusia 78 tahun sebelum ini pernah dilaporkan menghidap kanser pankreas.
Bekas perdana menteri itu dilapor pulih sepenuhnya daripada penyakit itu, namun ada khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Pagoh itu menghadapi masalah kesihatan sejak itu.
Ini termasuk dakwaan portal berita Sarawak Report bahawa Muhyiddin telah melanggar perintah kuarantin ketika wabak Covid-19 pada 2020 untuk mendapatkan rawatan kanser di Singapura, namun dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika itu.
Pada 2021, Muhyiddin dilaporkan dimasukkan ke hospital selepas mengalami cirit-birit.
Bulan lalu, bekas Ketua Bersatu Sungai Besar Hasnizam Adham membayangkan keadaan kesihatan Muhyiddin merosot dan dirawat di hospital.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali yang berkata Muhyiddin berada dalam keadaan sihat dan aktif.
Selain itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berusia 78 tahun dan hanya muda tiga bulan daripada Muhyiddin.