Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memberi amaran susulan jemputan Putrajaya kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang disifatkannya sebagai ‘syaitan besar’.
Dalam perkongsian minda presiden, Abdul Hadi berkata Trump secara terang-terangan bersekongkol bersama Israel dengan melakukan kekejaman melampau terhadap orang Islam di Palestin, khususnya di Gaza.
“Bahkan, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang berada di hospital.
“Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian, dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan. Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Namun begitu, Amerika Syarikat bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh Trump.

“Trump juga menjadi syaitan besar yang menggoda masyarakat dunia, menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya,” katanya.
Malah katanya, Amerika turut membekalkan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kepada Israel.
“Trump juga turut menggoda rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution). Ataupun, mereka dipaksa berpindah dengan meninggalkan Palestin dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung.
“Namun, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya. Selaku syaitan besar, Trump juga menggoda pemimpin negara Islam dan Arab supaya menyembahnya,” kata Abdul Hadi.

Terdahulu kerajaan menjelaskan keputusan menjemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan depan membuka ruang kepada negara anggota blok itu untuk menyatakan pendirian mereka secara terus berhubung isu Palestin.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kehadiran Trump membolehkan negara Asean menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta mengkritik sikap hipokrit sesetengah negara dalam menangani isu tersebut.
Abdul Hadi yang juga bekas duta khas ke Timur Tengah menegaskan, alasan menjemput Trump menyertai Sidang Kemuncak Asean adalah sangat rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.
“Tambahan pula, hal ini berlaku dalam keadaan negara-negara di seluruh dunia, termasuklah negara bukan Islam, malah rakyat Amerika Syarikat sendiri, mula memulaukan Israel yang nyata keganasannya dengan sokongan Trump,” tambahnya.






