Seorang guru silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga anak muridnya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua yang dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, Yusoh Omar, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Telok Mas sekitar 2 petang pada 13 Sept lepas.
Bagi pertuduhan ketiga yang didengar di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah di mahkamah berasingan, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang lagi remaja perempuan berusia 14 tahun di lokasi sama pada kira-kira 8 pagi, 8 Okt lepas.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan dan penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.
Bagi dua pertuduhan pertama, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan manakala bagi pertuduhan ketiga, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM30,000.
Pihak pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan termasuk larangan mendekati atau menganggu mangsa dan saksi, pasport diserahkan kepada mahkamah serta arahan melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap, perlu menjaga ibunya yang uzur serta mengidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 dan membenarkan semua syarat tambahan yang dipohon pendakwaan, serta menetapkan 15 Dis dan 23 Dis ini sebagai tarikh serahan dokumen.
– Bernama






