Polis menahan seorang guru lelaki di Chini, Pahang minggu lalu selepas dia didakwa mencabul pelajar Orang Asli berusia 11 tahun ketika berada di bandar berhampiran untuk satu majlis.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan penahanan guru berkenaan yang bertugas di sebuah sekolah di daerah Chini.
“Ya, ada tangkapan seorang guru sekolah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Seksyen 377E Kanun Keseksaan,” katanya.
Seksyen 14(a) menetapkan kesalahan berkaitan menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak untuk tujuan seksual dan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, manakala Seksyen 377E Kanun Keseksaan (menghasut kanak-kanak untuk melakukan perbuatan tidak senonoh) membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Menurut Othman, suspek yang ditahan pada Sabtu lalu telah ditahan reman polis dan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama sekolah dan butiran lain yang boleh membawa kepada pengecaman kanak-kanak itu, yang masih di bawah umur.
Sumber yang rapat dengan keluarga mangsa yang bercakap kepada Malaysiakini berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu ketika guru itu mengiringi sekumpulan pelajar dari Chini ke persembahan kebudayaan di Pekan.
Suspek didakwa telah mendekati mangsa ketika dia sedang tidur dan mengajak budak lelaki itu untuk bersamanya di atas katil, dan melakukan perbuatan seksual terhadap budak itu.
Ibu bapa mangsa hanya mengetahui kejadian itu selepas budak itu pulang ke rumah pada Sabtu dan membuat laporan polis.
Polis telah menemu bual mangsa, yang juga telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Menurut saudaranya, keluarga itu turut kecewa dengan guru besar sekolah itu kerana didakwa cuba menghalang mereka daripada membawa kes itu kepada pihak berkuasa.
“Kita orang buat keputusan bukan kata kerana cikgu marah. Ini benda dah sentuh. Jadi benda ni memang tak boleh. Jadi kita orang buat laporan polis.
“Lepas siap buat laporan polis, kita orang turun daripada balai polis, pergi dekat kawasan parkir, guru besar ada dekat situ. Dia sampai.
Bila dia sampai tu, dia minta maaflah dekat keluarga mangsa. Itu nampaklah.
“Lepas tu dia bercakap dengan pelajar. Pelajar pun cakap, yang cikgu ni cakap simpan rahsia ni sampai mati. Tapi tiba-tiba guru besar ni jawab macam ni dekat pelajar, depan ibu bapa mangsa, dia cakap ‘kenapa tak simpan rahsia sampai mati, kenapa beritahu orang.’
“Lepas itu dia nampak cikgu (suspek) itu dah digari malam itu, dia kena gari. dia (guru besar) cakap macam kesian cikgu tu. Dia tak ada empati dan prihatin pada pelajar,” kata keluarga mangsa.
Menurut keluarga mangsa, mangsa masih trauma dan dikatakan mengalami mimpi buruk sejak kejadian itu.