PARLIMEN l Guru Bahasa Inggeris yang memuatnaik video yang kononnya memaparkan Zara Qairina Mahathir, 13, dimasukkan ke dalam mesin basuh, mengakui bahawa ia hanya sekadar ‘content’.
Ini didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, guru yang memuatnaik video berkenaan sehingga tular di media sosial, membuat pengakuan itu selepas ditahan polis, baru-baru ini.

“Kita tahan seorang guru yang membuat content di TikTok bahawa adik Zara dibunuh dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Bila kita soal siasat kenapa buat begitu? Jawabnya ‘saya hendak buat content sahaja. Tetapi content itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan luar dewan.
“Dia nak buat content dia kata. Tapi cara dia susun ayat seolah-olah begitulah punca kematian. Di sini saya nak sebut, kita tak boleh berdasar kepada sentimen dan emosi,” kata Saifuddin Nasution pada sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu amat dikesali kerana berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat Malaysia sedangkan fakta yang dikemukakan adalah palsu.
“Guru itu ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Saifuddin Nasution turut mendedahkan ketika disoal siasat, guru itu mengakui tidak mempunyai sebarang bukti, sebaliknya hanya mahu menarik perhatian di media sosial.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Mengulas lanjut, menteri itu menegaskan keadilan dan kebenaran perlu berdasarkan kepada fakta dan proses undang-undang yang sah.
Katnya, ia tidak boleh berlandaskan fakta separuh masak, tuduhan rambang atau sentimen emosi semata-mata.
“Kita tolak jika ada sentimen mainan politik dan spekulasi atau dakwaan jahat,” katanya lagi.