POKLIP sebenarnya cukup bangga dengan kelantangan golongan selebriti, artis dan pempengaruh tempatan. Dalam pada ada yang mungkin menidakkan sebilangan mereka sebagai pempengaruh, namun ada kalangan mereka yang benar memberi inspirasi.
Lihat sahaja isu yang tular baru-baru ini melibatkan pelajar, Allahyarham Zara Qairina. Selain pihak berkuasa yang sedang giat buat kerja, golongan artis, selebriti dan pempengaruh juga menjalankan kerja mereka.
Ramai artis yang lantang mahukan kebenaran di sebalik tragedi yang menimpa pelajar itu segera dibongkar. Siapa di sebalik semua itu? Apakah benar semua dakwaan yang tular di media sosial?
Ketika ini Poklip kira, sistem keadilan negara menjadi perhatian. Jika benar ada tangan ghaib yang menentu arah siasatan, maka itu harus dihentikan. Ketelusan dan keadilan kini menjadi keutamaan.
Ramai artis dan selebriti tempatan juga mahukan kebenaran segera terbongkar. Rozita Che Wan, Mimi Lana, Yana Samsudin, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi berkongsi perkembangan terkini di media sosial mereka.
Itulah antara fungsi sebenar dunia media sosial. Para selebriti dan pempengaruh seharusnya menggunakan ‘pengaruh’ mereka untuk menggesa siasatan segera dilaksana dengan telus dan amanah.
Malah, ramai juga golongan selebriti yang mengakui terkesan dengan apa yang menimpa Allahyarham Zara. Ayda Jebat, Faradhiya dan beberapa artis lain turut berkongsi pengalaman dibuli.
Isu buli ini sebenarnya sudah Poklip bicarakan beberapa minggu lalu. Dan ketahuilah, buli ini (sekali lagi Poklip cakap) bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Jangan main dengan mental dan emosi manusia.
Bila sesuatu mengganggu mental, emosi dan pemikiran, kita sendiri mungkin tidak dapat mengawal tindakan diri sendiri. Kita akan terganggu dengan segala macam ‘suara halus’ yang tercetus daripada trauma dibuli itu.
Poklip tahu sahaja, ada pihak yang mungkin lantang berbicara tentang buli tetapi sebenarnya dia juga seorang pembuli. Dalam dunia hiburan juga, artis sama saling membuli. Sama ada kita perasan atau tidak sahaja.
Dan buli tidak hanya guna lisan dan fizikal. Buli siber juga parah akibatnya. Sebagai contoh, apa yang berlaku pada Sophia Albarakbah. Kes sudah lama dan rasanya tidak perlu diungkit lagi tetapi dia tetap jadi sasaran.
Tekanan, trauma dan kesan buli itu bukan main-main. Lihat sahaja apa yang berlaku di industri Korea Selatan, sudah ramai yang membuat keputusan untuk menamatkan riwayat sendiri kesan dibuli.
Maka, apakah kita menanti perkara sama berlaku dalam industri seni tempatan? Pastinya tidak kan. Jadi jangan. Sekali lagi, jangan buli orang. Sama ada tersirat atau tersurat, Jangan gunakan sentimen kasihan netizen untuk kepentingan diri sendiri.
Berbalik kepada ‘suara’ para artis, teruskan bersuara. Jadilah wira yang lantang memperjuangkan kebenaran dan keadilan walaupun tidak didendang. Teruskan menggunakan pengaruh anda untuk kebaikan.
Buktikan kepada mereka yang mungkin selama ini memandang rendah golongan selebriti dan pempengaruh. Jika sebelum ini mungkin tersekat, tetapi kini bersuara lah. Dengan lantangnya.