Malaysia Oversight

Gudang simpan cat, pelarut musnah dalam kebakaran

By Utusan in May 10, 2025 – Reading time 2 minute
Gudang simpan cat, pelarut musnah dalam kebakaran


BUKIT MERTAJAM : Sebuah gudang menyimpan cat dan pelarut di Jalan Permatang Tinggi, Simpang Ampat di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.11 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja sampai di sana, didapati kebakaran melibatkan sebuah gudang simpanan cat dan pelarut atau ‘solvent’ (kelas B) dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 70 peratus.

“Kebakaran ketika itu dipercayai telah merebak ke premis bersebelahan. Bagaimanapun, ia dapat dikawal pada pukul 2.50 petang tadi tanpa sebarang insiden atau kemalangan jiwa,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Shoki, selain BBP Bandar Perda, operasi itu turut dibantu oleh beberapa BBP lain termasuk dari Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Batu Kawan dan Jalan Perak.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal di lokasi gudang berkenaan yang dirakam oleh pengguna jalan raya, tengah hari tadi.

Difahamkan, gudang tersebut juga menjadi lokasi simpanan dua jenis bahan kimia iaitu ‘methanol’ dan ‘toluene’.-UTUSAN





Source link