Malaysia Oversight

Guan Eng terima 2 beg hitam berisi RM2 juta, kata saksi

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 3 minute
Guan Eng terima 2 beg hitam berisi RM2 juta, kata saksi


Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu mahkamah hari ini, dia sendiri yang menyerahkan dua beg hitam berisi wang berjumlah RM2 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Ahli perniagaan, G Gnanaraja, 44, berkata dia menerima dua beg berkenaan – dengan setiap satu berisi RM1 juta – daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB).

Katanya ia berlaku di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017 dan untuk diserahkan kepada Lim.

“Selepas saya menerima dua beg hitam berisi wang berjumlah RM1 juta setiap satu, saya menyimpan beg-beg itu di dalam bilik kerja saya.

“Satu beg telah saya keluarkan pada 20 Ogos 2017 dari bilik kerja saya untuk dibawa dan diserahkan kepada Lim semasa menghantar beliau ke Publika, Hartamas.

“Lim telah mengambil beg berkenaan dan selepas itu menepuk bahu Zarul Ahmad yang berada di tempat duduk pemandu. Saya merasakan beliau (Lim) menepuk bahu Zarul Ahmad adalah tanda ucapan terima kasih atas pemberian beg berisi wang RM1 juta itu,” kata Gnanaraja.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim.

Gnanaraja berkata dia mengeluarkan satu lagi beg hitam berisi RM1 juta dari bilik kerjanya dan meletakkan ia di dalam kereta Bentley berwarna hitam miliknya pada jam 10 malam, 28 Ogos 2017 selepas menerima pesanan ringkas daripada Zarul Ahmad.

Duduk di depan

Menurut Gnanaraja, selepas mengeluarkan beg tersebut daripada bonet keretanya, dia telah menyerahkan beg berkenaan kepada Lim yang datang ke rumahnya antara jam 2 pagi hingga 3 pagi pada 29 Ogos 2017.

Lim kemudian memasuki kereta dan duduk di tempat duduk belakang.

“Lim menyambut beg yang diserahkan oleh saya dengan menggunakan tangan kanan sambil tersenyum. Selepas Lim mengambil beg itu beliau terus masuk ke dalam kereta dan meletakkan beg tersebut di atas ribanya.

“Pada masa itu, Zarul Ahmad duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kenderaan yang dinaiki oleh Lim dan Zarul Ahmad kemudian beredar dari kediaman saya. Saya tidak tahu hala tuju mereka selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Gnanaraja berkata, sebelum menyerahkan beg tersebut kepada Lim, mereka membuat perbincangan sulit lebih kurang sejam mengenai perjalanan, penerimaan serta pengeluaran kewangan projek terowong pada hari yang sama (29 Ogos) di kediaman Gnanaraja.

“Dalam pengetahuan saya, nilai projek terowong yang dianggarkan adalah berjumlah RM6.3 bilion. Lim ada sebut 10 peratus daripada keuntungan projek berjumlah RM6.3 bilion itu adalah untuk Lim sendiri.

“Lim juga ada menceritakan persetujuan Zarul Ahmad terhadap permintaannya berkenaan 10 peratus daripada keuntungan projek itu,” kata Gnanaraja.

a91da0139100fa213c3208578e58906d

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan dia untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan terbabit dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu berlangsung di hadapan hakim Azura Alwi. Perbicaraan bersambung esok.

Bernama



Source link