Malaysia Oversight

GRS terbuka jika parti komponen nak bertanding solo

By MkiniBM in October 4, 2025 – Reading time 1 minute
GRS terbuka jika parti komponen nak bertanding solo


Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang memilih untuk bertanding secara solo pada pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata pada masa sama GRS tidak akan mendesak mana-mana parti komponennya meninggalkan gabungan itu, sebaliknya menyerahkan keputusan berkenaan kepada parti terbabit.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan gabungan berkenaan berasaskan kerjasama erat dalam kalangan parti komponennya serta sokongan padu rakyat Sabah.

“Insya-Allah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama-sama rakan komponen lain, terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insya-Allah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.

“Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan dan kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di pekarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu ialah bukti nyata keupayaan negeri memulihkan ekonomi serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Dia berkata mandat yang diberikan rakyat Sabah sejak Sept 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat.

“SMJ bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil,” katanya.

Bernama



Source link