Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal bertembung dengan BN di sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas senarai calon mereka diumumkan.
Satu-satunya kerusi yang tidak akan ditandingi GRS di 42 kerusi yang akan ditandingi BN ialah kerusi DUN Sebatik.
Secara keseluruhan, GRS akan bertanding 55 kerusi dengan empat lagi kerusi masih belum diumumkan.
Senarai calon hari ini mengecualikan beberapa calon ‘heavyweight’, termasuk dua pemimpin Umno yang digantung keahlian dan dikhabarkan telah lama akan menyertai GRS.
Timbalan Ketua Menteri III sementara, Shahelmey Yahya, dan pembantu menteri, Andi Muhammad Suryady Bandy tidak berada dalam senarai 51 calon GRS yang diumumkan pada Rabu.
Shahelmey ialah ahli parlimen Putatan dan Adun Tanjung Keramat, manakala Andi merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dan Adun Tanjung Batu.

Kedua-dua ahli politik berkenaan sebelum ini dijangka mempertahankan kerusi mereka di bawah GRS selepas digantung keanggotaan Umno tahun lalu kerana menentang arahan parti ketika “Langkah Kinabalu 2023.”
Namun, oleh sebab mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket BN, bertanding di bawah GRS dalam pilihan raya negeri boleh melanggar undang-undang antilompat parti dan menyebabkan mereka hilang status sebagai ahli Parlimen.
Meskipun begitu, terdapat spekulasi bahawa dua wakil rakyat Umno ini mungkin akan dimasukkan dalam empat kerusi terakhir yang belum diumumkan oleh GRS.
Selain Shahelmey dan Andi, seorang lagi tokoh yang diketepikan ialah veteran PBS, Jahid Jahim. Jahid merupakan Adun Tamparuli yang namanya sebelum ini disebut-sebut akan bertanding.

Nama Yusof Yacob (Adun Sindumin) dan Flovia Ng (Adun Tulid) juga digugurkan dengan kerusi mereka diserahkan kepada PKR sebagai sebahagian daripada persefahaman GRS-PH.
Shahelmey, Andi, Jahid dan Yusof sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan yang melibatkan usahawan Albert Tei.
Andi dan Yusof ketika ini menghadapi tuduhan menerima rasuah, manakala Albert turut dibicarakan atas tuduhan memberi rasuah.
Bagaimanapun, pemimpin lain yang turut dikaitkan dengan skandal rasuah, termasuk Menteri Kewangan ketika ini, Masidi Manjun, Presiden PBS sementara, Joachim Gunsalam, dan Adun Sook, Ellron Angin, masih tersenarai sebagai calon.






