KOMITMEN global di COP28 untuk menggandakan tiga kali ganda kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 11,000 gigawatt menjelang 2030 memberikan cabaran besar kepada rantau Asia Tenggara.
Bagi menguruskan peralihan hijau ini, rantau ini mempercepatkan usaha mengejar Grid Kuasa ASEAN (APG), sistem sambungan elektrik yang direka untuk membolehkan negara anggota ASEAN berdagang elektrik merentasi sempadan.
APG amat penting kerana pengembangan tenaga solar dan angin telah mewujudkan “banjir tenaga moden”, yang membawa tekanan baharu kepada grid kuasa negara.
Kebolehubahan semula jadi sumber ini menjadikan grid individu terdedah kepada kejutan dan kegagalan. APG boleh membantu menyerap kebolehubahan ini dan memanfaatkannya secara produktif.
Tanpa sistem yang bersepadu, strategi pengurusan grid semasa sering menggunakan penyelesaian statik seperti mengehadkan penjanaan angin dan solar, menetapkan jadual pemasangan yang tegar atau mewajibkan penyimpanan tenaga.
Langkah-langkah yang bersifat reaktif dan setempat ini gagal menyediakan penyelesaian jangka panjang yang komprehensif.
Ia mewujudkan konflik dan ketidakcekapan, dengan pemaju mengeluh tentang kerugian pendapatan dan pengendali grid pula membangkitkan risiko keselamatan.
Untuk mengharungi cabaran ini dengan berkesan, ia menuntut pemikiran yang menyeluruh, sistemik dan berpandangan jauh.
Penyelesaian harus melangkaui tumpuan tunggal terhadap teknologi, sebaliknya mengintegrasikan perancangan jangka panjang yang mantap, kolaborasi serantau yang kukuh serta pemahaman mendalam tentang kekuatan dan kekangan tempatan.
Kita mesti berhenti membina “empangan” terasing dan sebaliknya mengukir “dasar sungai serantau” yang besar melalui APG untuk mengubah “banjir tenaga” ini daripada sumber ketidakstabilan menjadi sumber produktif untuk kemajuan manusia.
Cabaran utama peralihan tenaga bukanlah mencari sumber matahari dan angin yang mencukupi, tetapi bagaimana mengintegrasikan sumber-sumber berselang-seli ini dengan lancar ke dalam bekalan kuasa kita.
Tenaga boleh baharu, mengikut sifatnya, tidak terbatas oleh sempadan negara.
Anda tidak boleh menghalang angin daripada melintasi sempadan, dan tidak juga boleh menghalang matahari daripada bersinar di beberapa negara.
Aliran tenaga solar dan angin yang sememangnya dikongsi ini membawa kepada satu kesimpulan logik iaitu menyambungkan grid merentasi negara yang berbeza merupakan cara paling optimum untuk memanfaatkan potensi bersama yang melimpah ruah ini.
Wawasan APG yang bercita-cita tinggi mula-mula dinyatakan pada tahun 1997 selepas usaha dua hala awal pada tahun 1970-an.
Selepas membimbing pembangunan awal selama lebih lima belas tahun, Memorandum Persefahaman APG baru-baru ini telah diperkukuh dan disahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada Oktober 2025.
Kita sering mendengar keluhan bahawa kemajuan APG adalah perlahan. Namun, jika dibandingkan, sambungan elektrik antara United Kingdom dan Perancis yang pertama (160 megawatt) ditauliahkan pada tahun 1961.
United Kingdom mengambil masa 25 tahun untuk meningkatkan kapasiti mereka kepada dua gigawatt, dan hampir empat dekad lagi untuk mencapai rangkaian semasa yang menghubungkan Belgium, Denmark, Perancis, Belanda dan Norway.
Maka, berdasarkan kadar sejarah ini, kemajuan APG masih dianggap seiring dan kini dijangka mengumpul momentum yang turut diperkukuh dengan pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG pada bulan ini.
Inisiatif yang dicetuskan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kumpulan Bank Dunia ini akan menawarkan pelbagai instrumen kewangan termasuk pinjaman konsesi, geran serta perkhidmatan nasihat kerjasama awam dan swasta.
Institusi-institusi ini bukan sahaja akan membiayai projek daripada dana mereka sendiri tetapi juga berperanan memangkinkan dana besar daripada sektor swasta untuk projek-projek berkaitan APG.
Tumpuan baharu terhadap perancangan serantau yang teguh menjadi kunci untuk membuka potensi tenaga bersih di rantau ini.
Pasaran tenaga yang bersepadu akan membolehkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar, mengimbangi bekalan dan permintaan merentasi sempadan serta memastikan keselamatan tenaga yang lebih baik.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan intensiti karbon dan kos, malah membina daya tahan seluruh rantau terhadap kejutan iklim, turun naik harga bahan api dan risiko geopolitik.
Masa untuk membina empangan yang terpisah-pisah telah berakhir dimana masa depan menuntut grid tenaga serantau yang bersatu.
*Leong Yuen Yoong dan Woo Wing Thye ialah Profesor di UN Sustainable Development Solutions Network, Ibu Pejabat Asia, Universiti Sunway dan Naib Presiden, UN Sustainable Development Solutions Network, Universiti Sunway.-UTUSAN






