PETALING JAYA: Penyakit lama kembali menghantui beregu No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas mempamerkan prestasi tidak konsisten sejak kebelakangan ini.
Kemerosotan prestasi yang menimpa beregu lelaki No. 2 dunia itu turut diakui Ketua jurulatih beregu negara, Herry Iman Iman Pierngadi.
Jurulatih kelahiran Indonesia yang mendapat jolokan Naga Api itu berkata, grafik prestasi Aaron-Wooi Yik menurun sejak mereka beraksi pada Kejohanan Dunia di Paris, bulan lalu.
“Ya memang grafiknya menurun selepas (pulang) dari Paris, penting untuk mengembali motivasi semangat mereka sebagai persediaan China Masters, minggu depan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Aaron-Wooi Yik tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong selepas tewas mengejut di tangan beregu England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 13-21 dalam masa 28 minit.
Aaron-Wooi Yik yang sering berdepan prestasi tidak menentu sebelum kedatangan Herry, mula mempamerkan persembahan yang konsisten sejak berada di bawah bimbingan jurulatih tersebut.
Peningkatan mendadak dipamerkan mereka selepas merangkul gelaran Asia di Ningbo, China, awal tahun ini.
Prestasi konsisten terus dipamerkan Aaron-Wooi Yik apabila mereka menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, selain, muncul naib juara pada Malaysia Masters serta Terbuka China.
Namun, beregu yang menjadi harapan Malaysia mengulangi pencapaian 2022 merangkul gelaran dunia di Paris, gagal berbuat demikian selepas terkandas pada suku akhir.
Herry berharap situasi yang melanda Aaron-Wooi Yik pada ketika ini dapat segera diperbaiki
dan kembali kepada prestasi asal mereka.
Bagaimanapun, menurut Herry, disebalik rasa khuatir terhadap prestasi Aaron-Wooi Yik, tetapi, di sisi lain pula, beliau masih gembira dengan persembahan yang dipamerkan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.
“Sekarang di Hong Kong, saya memang khuatir dengan Aaron-Wooi Yik, tetapi satu sisi lagi kita masih ada beregu lagi dan saya berharap mereka dapat berikan yang terbaik di Hong Kong dan China Masters,” katanya.-UTUSAN