Malaysia Oversight

Graduan yatim piatu ‘berperang’ rasa bangga, pilu di hari konvokesyen

By MkiniBM in December 11, 2025 – Reading time 3 minute
Graduan yatim piatu 'berperang' rasa bangga, pilu di hari konvokesyen


Di sebalik senyuman lebar seorang graduan muda yang melangkah masuk ke Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Konvokesyen UPM ke-49, tersimpan kisah ketabahan yang menyentuh hati.

Nik Maisara Faireen Putri Muhammad Rohaizan, 24, merupakan graduan sarjana muda kejuruteraan perisian dengan kepujian sudah membuktikan bahawa kehilangan kedua-dua ibu bapa sejak kecil bukan penghalang untuk mencapai impian.

Anak asal Kota Bharu, dan kini menetap di Ampang, itu membesar sebagai anak sulung. Di bahunyalah banyak tergalas tanggungjawab untuk menjaga adik-adiknya yang berusia 19 dan 20 tahun.

Ayahnya, Allahyarham Muhammad Rohaizan, seorang juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia semasa latihan pada 2006. Ketika itu Nik Maisara baru berusia lima tahun.

“Saya masih ingat kami berkumpul di Rompin, Pahang, tetapi dalam umur lima tahun, saya tidak benar-benar faham apa yang berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada usia 15 tahun pula, dia diuji sekali lagi apabila ibunya meninggal dunia. Detik sedih dan mencabar itu berlaku kira-kira 10 tahun selepas mereka kehilangan seorang bapa.

“Sejak itu saya belajar untuk jadi lebih kuat. Saya ada adik lelaki dan adik perempuan, sebab itu saya kena jadi contoh dan tunjang mereka,” katanya.

Perjalanan akademiknya menuju ke peringkat universiti bermula dengan pengambilan jurusan Sains Modul II semasa matrikulasi, yang merangkumi kursus Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer.

Jadi menarik, mencabar

Menurutnya, pendedahan itu banyak membantunya dari segi pemikiran analitikal serta menjadi asas kukuh untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan perisian.

Bagi Nik Maisara, empat tahun pengajian di UPM penuh pengalaman bermakna kerana mengajarnya untuk berdikari.

“Saya sangat menghargai suasana pergaulan bersama rakan-rakan dan sistem sokongan daripada keluarga — terutamanya ibu saudara yang menjaga kami — sangat membantu saya bertahan,” katanya.

Dia juga berkongsi bagaimana pada awalnya dia belum mempunyai hala tuju yang jelas dalam menentukan bidang pengajian.

Namun, setelah menerima tawaran matrikulasi dalam aliran sains komputer, dia mula terdedah kepada dunia pengekodan (coding) dan pembangunan perisian.

“Dari situ, minat saya berkembang secara semula jadi apabila saya dapati proses menyelesaikan masalah melalui teknologi sangat menarik dan mencabar,” katanya.

d058abac0f3862c301b0632f6526c321
Nik Maisara (kanan) bersama adiknya Nik Mierasofea Fazreene Putri (kiri) dan Nik Muhammad Fawreezzudean bergambar bersama ibu saudara mereka, Nik Shaliza Hussin

Menurut Nik Maisara, dia juga terhutang budi pada rakan-rakan sejurusan di UPM kerana mereka banyak membantu, mendorong dan berkongsi pengalaman, termasuk membentuk kumpulan belajar serta menyiapkan tugasan.

Selepas menamatkan pengajian, dia terus ditawarkan pekerjaan oleh syarikat tempat dia menjalani latihan industri sebelum itu.

“Saya bekerja sebagai penguji perisian dan penganalisis kualiti,” jelasnya.

Kini, Nik Maisara telah memulakan kerjaya di sebuah syarikat teknologi di bawah syarikat AirAsia dan ia menandakan lembaran baru dalam bidang kejuruteraan perisian.

Dia juga berkongsi pengalaman ketika perarakan masuk graduan dan sesi penganugerahan ijazah yang mencetuskan perasaan yang bercampur-baur.

“Saya sangat teruja tapi pada masa yang sama saya sebak. Saya terfikir – alangkah indah detik itu kalau ibu dan ayah ada bersama,” katanya dengan menahan air mata.

Jadilah contoh terbaik

Namun, dia tidak bersendirian. Nenek daripada kedua-dua belah keluarga, ibu saudara, adik-beradik serta sepupu-sepapat tetap hadir memberikan sokongan penuh.

“Saya percaya ibu dan ayah pasti bangga dengan saya,” katanya.

Walaupun seluruh ahli keluarga banyak memberi sokongan, individu yang paling konsisten memberi semangat dan nasihat kehidupan ialah ibu saudaranya, Nik Shaliza Hussin.

Wanita berusia 64 tahun itu ialah ibu saudara dari sebelah ibunya.

Secara kebetulan dia juga bekas pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, selain pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum bersara pada 2019.

9edb70bd097467a8001d86f44fb06b41

Menurut Nik Maisara, apabila sesekali disapa kerinduan terhadap ibu dan bapanya, perasaan itu memang agak mencabar. Namun dia ada cara bagi mengendurkan kerinduan tersebut.

Dia menenangkan diri dengan mendengar muzik atau meluangkan masa bersama keluarga atau rakan terdekat.

“Sokongan sosial ini membantu saya menenangkan diri dan menguatkan emosi,” katanya.

Untuk pelajar yang pernah mengalami nasib serupa, Nik Maisara menitipkan nasihat yang lahir dari pengalaman hidupnya sendiri: “Teruskan kuat. Ingat yang kita buat semua ini untuk membanggakan mereka. Jadilah contoh terbaik untuk adik-adik dan harumkan nama keluarga,” katanya.



Source link