GoPro Mengumumkan Dua Kamera Aksi Baharu – GoPro Max 2 Dan GoPro Lit Hero
Amy Maizuraa
GoPro telah memperkenalkan dua kamera aksi baharu iaitu GoPro Max 2 dan GoPro Lit Hero. Kedua-duanya menawarkan kebolehan rakaman yang dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan pengguna moden.

GoPro Max 2 ialah kamera aksi 360 darjah yang boleh merakam video 8K/30FPS. Ia dilengkapi lensa boleh tukar dengan kaca optik kalis air, sokongan rakaman warna profesional (GP Log) dan mampu menangkap lebih satu bilion warna.
Kamera ini juga boleh merakam gambar 360 darjah beresolusi 29MP dan disunting semula melalui aplikasi GoPro Quik. Ia juga menyokong rakaman gerak perlahan 2x pada 5.6K 60fps dan 3x pada 4K 100fps. Menariknya lagi, Max 2 merupakan satu-satunya kamera 360 darjah dengan GPS terbina.

GoPro Max 2 dilengkapi enam mikrofon untuk rakaman audio 360 darjah dengan sokongan Audio Field-of-View dan audio studio 360. Sokongan ambisonik 360 turut akan ditambah melalui kemas kini akan datang.
Ia menggunakan bateri Enduro 1960mAh yang tahan cuaca ekstrem dan dikuasakan AI untuk suntingan pintar seperti penjejakan objek serta MotionFrame. Sebanyak 16 aksesori baharu disertakan termasuk Invisible Mounting untuk rakaman kelihatan seperti diambil dari dron.

GoPro Lit Hero pula ialah kamera aksi ringan (seberat 93 gram) yang mampu merakam video 4K60FPS serta menyokong gerak perlahan 2x. Ia kalis air sehingga lima meter, hadir dengan rekaan tahan lasak dan lampu terbina untuk kegunaan dalam pelbagai keadaan.

Kamera ini menyokong rakaman dalam nisbah 4:3 dan gambar 12MP menggunakan sensor kecil dengan lensa tetap bersudut luas bersamaan 15mm f/2.3. Bateri Enduro yang disertakan membolehkan rakaman berterusan sehingga 100 minit dalam resolusi 4K.
Sementara itu, gimbal Fluid Pro AI Gimbal menyokong penjejakan subjek berasaskan AI untuk kamera dan telefon pintar. Ia boleh menampung peranti sehingga 400 gram, dilengkapi sistem tiga paksi, sokongan penukaran mount dan lampu ‘Fill Light’. Gimbal ini turut menawarkan ketahanan bateri 18 jam dan boleh digunakan sebagai sumber kuasa tambahan untuk peranti yang disambungkan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






