Google Perkenal Sistem Pengesanan Identiti Pembangun Aplikasi Untuk Keselamatan Muat-Sisi APK
Effi Saharudin
Antara kebebasan menggunakan Android ialah aplikasi boleh dimuat-sisi oleh pemilik jika ia tiada di Play Store. Fortnite dan Epic Games Store ialah dua contoh aplikasi yang diharamkan daripada Play Store tetapi boleh dipasang pada peranti menggunakan muat sisi fail APK. Google hari ini memperkenalkan keperluan pengesahan identiti pembangun bagi meningkatkan keselamatan aplikasi yang dimuat sisi.
Menerusinya Google akan mempunyai pangkalan data pembangun yang disahkan selamat tanpa sejarah menghasilkan aplikasi hasad. Ia juga dilihat sebagai satu lagi lapisan keselamatan untuk pengguna walaupun aplikasi dipasang di luar Play Store.

Bermula September 2026, aplikasi dengan pembangun tidak berdaftar dan disahkan identiti tidak boleh dipasang pada pada peranti Android yang dilengkapi GMS, Play Services dan Play Store. Ketika ini muat sisi aplikasi dihalang pada peranti seperti Pixel dan Samsung jika dirasakan berbahaya kepada pengguna.
Google akan meminta nama sebenar, emel, nombor telefon, alamat dan nombor D-U-N-S syarikat. Identiti ini hanya diketahui oleh Google dengan pengguna lain tidak boleh mengaksesnya bagi menjaga privasi.
Untuk pembangun sebagai hobi dan pelajar, Google akan menghasilkan akaun Android Developer Console berbeza yang tidak memerlukan kesemua maklumat di atas.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.