Google, OpenAI dan AWS Sertai Genesis Mission Untuk Meningkatkan Penggunaan AI Dalam Kajian Sains
Effi Saharudin
Kecerdasan buatan (AI) mempunyai imej buruk sebagai penjana kandungan sampah di media sosial, menyebabkan kos cip memori meningkat dan terkini menggunakan lebih banyak air daripada air botol yang diminum setahun. Tetapi sisi terang AI yang tidak diperkatakan ialah bagaimana digunakan untuk memacu kajian sains, menjejak kanser lebih awal dan melakukan ramalan banjir serta taufan dengan tepat sebelum berlaku.

Untuk meningkatkan penggunaan AI dalam kajian saintifik di Amerika Syarikat, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (DoE) mengumumkan Genesis Mission. Menerusinya Amerika akan memanfaatkan AI canggih untuk sains akan meningkatkan produktiviti saintis dan penyelidik Amerika secara mendadak.
Misi Genesis akan membantu saintis Amerika mengautomasikan rekabentuk eksperimen, mempercepatkan simulasi dan menjana model ramalan yang akan membawa kepada kejayaan dalam tenaga, pembuatan, penemuan ubat dan sebagainya.
DoE telah menandatangani memorandum persefahaman dengan 24 entiti dalam negara bagi menyokong Genesis Mission yang antaranya ialah Google, OpenAI, AWS, Anthropic, Microsoft, NVIDIA, AMD dan Intel.






