
Kebelakangan ini, banyak telah diperkatakan tentang keselamatan data dan butiran peribadi rakyat Malaysia, yang semakin berliang dengan pelbagai laporan tentang bagaimana ia sering dijual dan boleh diperlihatkan melalui laman sesawang dark web dan baru-baru ini, dapat dilihat secara terus melalui laman-laman tertentu seperti Caghi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo baru-baru ini telah menjawab pertanyaan oleh MP Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di sidang Parlimen tentang langkah-langkah yang telah diambil pihak kerajaan untuk menangani isu ketirisan data secara besar-besaran baru-baru ini.
Gobind mengatakan bahawa sejumlah agensi keselamatan kerajaan, termasuklah CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Jabatan Perlindungan Digital Peribadi (JPDP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah dikerahkan untuk membendung ketirisan ini daripada menjadi lebih berleluasa.
Buat masa ini, beliau telah mengesahkan bahawa pihak SKMM telah menyekat akses kepada laman web Caghi, manakala pihak CSM, melalui bahagian Cyber Risk Intelligence mereka telah menganalisa maklumat yang diambil daripada laman web tersebut, yang dikatakan telah dimanipulasi dan digunakan di luar konteks untuk menipu mangsa.
Manakala, pihak SKMM dan JPDP pula sedang bekerjasama dengan pihak pembekal rangkaian internet tempatan, pihak polis dan juga dikatakan sedang berunding dengan syarikat hos laman web dan rangkaian penyimpan kandungan untuk menurunkan laman web tersebut dan juga data rakyat yang dihoskan.
JPDP juga akan bertemu dengan pihak Polis Diraja Malaysia untuk berbincang mengenai proses mempergiatkan kerjasama diantara kedua-dua badan tersebut untuk mengetatkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan isu penirisan dan penjualan maklumat peribadi rakyat.






