Malaysia Oversight

Gissco rai 50 tahun, lancar logo korporat baharu

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
Gissco rai 50 tahun, lancar logo korporat baharu


KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal tenaga kerja Bumiputera pertama berlesen PETRONAS, Gissco Sdn Bhd hari ini melancarkan logo korporat baharu sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya.

Pelancaran itu menandakan fasa baharu perjalanan syarikat dalam industri minyak dan gas, sementara logo baharu itu melambangkan kesinambungan dan kestabilan, simbol prestij, kejayaan serta legasi selama 50 tahun.

Pengarah Urusan Gissco, Mohd Khoirul Kamal Rashid berkata, pengenalan logo baharu itu melambangkan evolusi syarikat daripada perintis industri kepada sebuah organisasi berdaya tahan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Jubli emas 50 tahun adalah bukti komitmen teguh serta bakat luar biasa dalam organisasi kami. Kesebelas individu ini, dan seluruh warga kerja Gissco, adalah arkitek sebenar perjalanan kami daripada status perintis kepada kepimpinan berterusan.

“Kesetiaan mereka bukan sahaja mendasari pencapaian korporat, tetapi turut menyokong ekonomi negara melalui kecemerlangan berterusan dalam sektor minyak dan gas. Sumbangan mereka adalah contoh jelas bagaimana dedikasi individu mampu memacu kejayaan organisasi dan kemakmuran negara,” katanya.

Majlis sambutan jubli emas itu turut memberi penghargaan khas kepada 11 kakitangan setia yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan syarikat, selain menyingkap kembali perjalanan GISSCO sepanjang lima dekad dalam industri.

Syarikat yang diasaskan oleh Allahyarham Mohammad Rashid yang juga anak jati Miri, Sarawak, bermula dengan perkhidmatan katering sebelum berkembang ke bidang pembekalan tenaga kerja dan perkhidmatan khusus.

Pada 1989, Gissco memperkenalkan perkhidmatan slickline yang kini menjadi salah satu tonggak utama, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain Bumiputera terkemuka dalam industri minyak dan gas Malaysia-UTUSAN

 

 





Source link