Malaysia Oversight

Gerakan kutip RM500,000 bantu Oh bayar pampasan saman fitnah

By MkiniBM in May 27, 2025 – Reading time 2 minute
Gerakan kutip RM500,000 bantu Oh bayar pampasan saman fitnah


Parti Gerakan berjaya mengutip sebanyak RM500,000 bagi membantu timbalan presidennya, Oh Tong Keong membayar pampasan kepada pengerusi DAP, Lim Guan Eng susulan kekalahannya dalam kes saman fitnah.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Gerakan dan orang awam atas sokongan serta kepercayaan yang berterusan.

“Sejak pelancaran kempen kutipan dana kami, sebanyak RM200,000 telah berjaya dikumpulkan.

“Selain itu, beberapa individu yang murah hati telah tampil untuk mendahulukan sebanyak RM300,000, membolehkan kami mengumpulkan sepenuhnya jumlah dana pampasan sebanyak RM500,000 bagi menyokong rayuan saudara Oh Tong Keong,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook Gerakan Pulau Pinang, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan Oh memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada Lim yang juga bekas menteri kewangan.

Peguam Oh, Chai Ko Thing memaklumkan rayuan itu difailkan pada 21 Mei lalu.

“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan juga telah difailkan pada 22 Mei sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi Georgetown memutuskan memihak kepada Lim setelah mendapati Oh memfitnah bekas menteri kewangan itu dengan tuduhan palsu bahawa dia membantu seorang penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.

Hakim Kenneth St James memerintahkan Oh membayar RM400,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai kos guaman, serta faedah lima peratus setahun dari tarikh writ difailkan.

Kes itu merujuk kepada sidang media Oh yang diadakan pada 25 September 2019, apabila dia mempersoalkan jika Lim telah membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, memperoleh pengecualian cukai bagi konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang dijadualkan berlangsung di Spice Arena, Bayan Lepas tetapi kemudiannya dibatalkan.

Sementara itu, Gerakan memaklumkan yang mahkamah telah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara (ad-interim stay of execution) seperti mana dipohon oleh Oh.

“Ini bermaksud bahawa saudara Oh tidak perlu membuat permohonan maaf secara terbuka pada peringkat ini.

“Walaupun sebahagian daripada jumlah tersebut telah didahulukan, usaha kutipan dana akan diteruskan bagi membolehkan bayaran balik dibuat secara bertanggungjawab kepada pihak yang telah mendahulukan dana tersebut,” kata kenyataan itu lagi.



Source link