PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan menggesa Putrajaya mereformasi sistem pendidikan negara, dengan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan jumlah kes buli dan kesalahan seksual yang melibatkan pelajar dan remaja.
Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berkata sistem sekarang telah melahirkan “generasi rapuh” kerana guru tidak boleh lagi mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajar.
“Dulu disiplin menjadi tunjang pembentuk manusia, dan saya bersekolah dulu, tahun 1970-an, kesalahan kecil seperti tidak memakai stoking, gagal menyiapkan kerja rumah atau buku koyak sedikit sudah diberi pengajaran.
“Bukan kerana guru zalim tetapi kerana mendidik tanggungjawab, hormat dan nilai diri. Hari ini atas nama emosi dan kesejahteraan, semua mahu dilayan lembut-lembut. Akhirnya lahirlah generasi rapuh. Cepat terasa, mudah mengalah.
“Guru takut bertindak, sekolah takut disalahkan. Sistem lumpuh, nilai korban di pihak anak-anak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat petang tadi.
Doris merujuk kepada statistik polis yang merekodkan lebih 3,000 kes buli antara 2022 dan 2024, yang mana 60 peratus dilaporkan berlaku di sekolah, manakala 400 kes rogol dan cabul melibatkan mangsa bawah umur dilaporkan tahun lepas.
Dia juga memetik kes pagi ini di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya yang melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh rakan sekolah lelaki yang lebih muda, berkata kejadian itu “sangat menyayat hati dan membimbangkan”.
“Apa dah jadi dengan sekolah dan remaja kita?” soalnya.
Doris menggesa Kementerian Pendidikan menggunakan peruntukan RM66.2 bilion untuk tahun depan bagi “memulihkan jiwa sistem pendidikan”, dan bukan hanya untuk membina bangunan dan makmal baru.
Dia mencadangkan pelbagai inisiatif pembaharuan kepada kementerian, termasuk memperkenalkan modul empati dan belas ihsan di sekolah, meningkatkan bilangan kaunselor sekolah kepada nisbah seorang kaunselor bagi setiap 200 pelajar, dan bagi setiap kes buli dan gangguan seksual dianalisis mengikut jenis sekolah, lokasi, umur dan jantina mereka yang terlibat.
Selanjutnya, Doris juga mencadangkan latihan untuk guru dan pentadbir sekolah supaya mereka dapat mengesan tanda-tanda awal buli, kaedah untuk mengendalikan kes secara proaktif, dan kaunseling psikologi asas.






